Mohamed Farid Noh


ORANG awam diminta menyalurkan maklumat kepada polis jika mempunyai informasi sebarang aktiviti ziarah Aidilfitri terutama dalam jumlah yang besar sekali gus melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ia susulan gambar dan video tular di media sosial sejak semalam yang menunjukkan golongan pemuda bermotosikal dalam jumlah ramai dilaporkan berkumpul menghidupkan tradisi baraan atau marhaban dari rumah ke rumah di Batu Pahat, yang popular di kalangan masyarakat Jawa.

Video dan gambar berkenaan menerima kecaman netizen yang bimbang penularan wabak Covid-19 berikutan mereka tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dalam meraikan Aidilfitri.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, orang awam perlu memaklumkan polis jika mengetahui sebarang aktiviti berkenaan bagi membolehkan polis mengambil tindakan.

Gambar tular kumpulan bermotosikal yang didakwa berlaku di Batu Pahat.
Gambar tular kumpulan bermotosikal yang didakwa berlaku di Batu Pahat.

"Setakat ini, kita tiada maklumat. Jika ada sebarang informasi disalurkan polis akan membuat pemeriksaan malah kita mempunyai pasukan khas yang membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah pada musim Aidilfitri ini.

"Bagaimanapun, polis tidak boleh berada di semua tempat dalam masa yang sama, jika orang awam tidak bantu memberi maklumat memang susah kita nak ambil tindakan.

"Ia juga penting bagi kita periksa sama ada gambar atau video yang tular itu adalah kejadian lama yang ditularkan semula," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini.

Menurutnya, jika ada sebarang maklumat boleh salurkan pada polis bagi membolehkan tindakan segera diambil.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 12:57 PM