PIHAK polis melakukan siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki yang juga gelandangan dipercayai dibunuh di perhentian bas di hadapan sebuah sekolah rendah berhampiran Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK), Seri Kembangan, Serdang, hari ini.
PIHAK polis melakukan siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki yang juga gelandangan dipercayai dibunuh di perhentian bas di hadapan sebuah sekolah rendah berhampiran Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK), Seri Kembangan, Serdang, hari ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


MAYAT seorang lelaki yang juga gelandangan yang dipercayai dibunuh ditemui di perhentian bas di hadapan sebuah sekolah rendah berhampiran Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK), Seri Kembangan, Serdang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat berkenaan pada 9 pagi, hari ini. "Kami dimaklumkan oleh pengawal keselamatan sekolah rendah terbabit yang menemui mayat mangsa dalam keadaan berlumuran darah di bahagian kepala di lokasi berkenaan.

"Siasatan awal mendapati mangsa adalah gelandangan berasal dari Sabah berusia 41 tahun yang berada di lokasi terbabit kira-kira sebulan lalu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Ismadi berkata, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan tetakan di kepala mangsa.

"Berdasarkan keadaan mayat mangsa, kami percaya kejadian itu (bunuh) berlaku malam tadi.

"Tiada senjata ditemui di lokasi dan hanya terdapat satu tilam dipercayai milik mangsa berada di dalam longkang berhadapan perhentian bas berkenaan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengikuti prosedur operasi standard (SOP) bagi pengendalian di lokasi kejadian dengan memakai pakaian perlindungan diri (PPE).

"Selain pihak forensik, kami juga dibantu kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam pengendalian siasatan kes di lokasi berikutan penularan wabak Covid-19 ketika ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 2:53 PM