ALIRAN trafik lengang dari kedua-dua arah Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran susur keluar Plaza Tol Bandar Ainsdale. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
ALIRAN trafik lengang dari kedua-dua arah Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran susur keluar Plaza Tol Bandar Ainsdale. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Muhaamad Hafis Nawawi


SERAMAI 14 ketua keluarga yang pulang ke kampung masing-masing di seluruh negara sudah diambil tindakan kerana melanggar larangan rentas negeri untuk menyambut Aidilfitri.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, walaupun sebenarnya jumlah mereka yang merentas negeri lebih daripada itu namun tidak ramai yang ditemui.

Menurutnya, mungkin di kampung atau perumahan mereka ini pandai menyorok kereta di tempat lain bagi mengelak dikesan polis.

"Bagaimanapun jika mereka terlepas dengan taktik ini bukan bermakna sudah selamat.

"Sebaliknya mereka akan berdepan pula dengan sekatan jalan raya apabila hendak pulang ke kediaman masing-masing kelak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hari ini berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mencuba merentas negeri tanpa kebenaran, termasuk mengenakan kompaun.

"Semalam PDRM mengeluarkan 214 kompaun di Sekatan Jalan Raya dan mengeluarkan 14 kompaun terhadap mereka yang dikesan merentasi negeri dan berada di kampung halaman tanpa kebenaran," katanya.

Negeri yang mencatatkan cubaan rentas negeri untuk pulang ke kampung tertinggi adalah Selangor (685), Negeri Sembilan (133) dan Pahang (72).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 3:39 PM