X
Nurul Hidayah Bahaudin

PEMERIKSAAN lebih ketat bagi menghalang cubaan rentas negeri diadakan di tujuh sekatan jalan raya (SJR) di lebuh raya utama di Semenanjung menghala ke pusat bandar sempena fasa kedua Op Covid-19.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Superintendan Bakri Zainal Abidin berkata, langkah itu diambil bagi memastikan tiada individu cuba 'meloloskan diri' bagi merentas negeri.

"Jika dilihat pada pemantauan hari ini di semua tujuh lokasi SJR, jumlah kenderaan berada di jalan raya menurun berbanding beberapa hari lalu.

"Cuma berlaku kesesakan di beberapa lokasi SJR menghala ke pusat bandar berikutan pemeriksaan teliti dilakukan anggota bertugas bagi memastikan tiada individu berjaya melepaskan diri.

"Malah, setiap SJR ditempatkan pegawai yang akan mengeluarkan kompaun terhadap individu yang ingkar arahan larangan rentas negeri," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di beberapa lokasi SJR di sekitar Lembah Klang hari ini.

Bakri berkata, kebanyakan individu yang diperiksa memberi alasan melakukan urusan di pusat bandar seperti mahu membayar bil utiliti dan lain-lain.

"Semua individu yang diperiksa juga diingatkan supaya tidak pergi ke rumah ahli keluarga atau sahabat untuk beraya pada hari ini kerana kebenaran beraya hanya dibenarkan semalam.

"Saya menasihatkan masyarakat mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat," katanya.

Tinjauan di lokasi SJR Plaza Tol Jalan Duta mendapati aliran trafik menuju ke utara lancar, namun lalu lintas di lokasi sama menghala ke pusat bandar sedikit sesak berikutan pertambahan kenderaan serta pemeriksaan teliti dilakukan polis.

Aliran trafik di Plaza Tol Sungai Besi menghala ke selatan pula didapati dalam keadaan terkawal.

Sementara itu, keadaan lalu lintas di Plaza Tol Gombak pula didapati lancar dengan jumlah kenderaan yang amat sedikit dari arah pusat bandar ke timur menjadikan kawasan berkenaan lengang.

Aliran trafik di lokasi itu menghala ke pusat bandar juga lancar walaupun ada pemeriksaan dilakukan polis di lokasi berkenaan.

Foto hiasan
Foto hiasan

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 5:01 PM