Pendayung kayak solo negara, Murad Mohd Kassim mencipta kelainan apabila memakai busan Melayu lengkap bertengkolok menyusuri Sungai Perak dengan berakit sejauh 18 kilometer sempena Aidilfitri. FOTO Ihsan Pembaca
Pendayung kayak solo negara, Murad Mohd Kassim mencipta kelainan apabila memakai busan Melayu lengkap bertengkolok menyusuri Sungai Perak dengan berakit sejauh 18 kilometer sempena Aidilfitri. FOTO Ihsan Pembaca
Noor Hidayah Tanzizi


PENDAYUNG kayak solo negara mencipta kelainan apabila memakai busana Melayu lengkap bertengkolok dengan berakit menyusuri Sungai Perak sejauh 18 kilometer sempena Aidilfitri, hari ini.

Murad Mohd Kassim, 50, yang juga pesara tentera melakukan misi solo itu bermula di Manong, Kuala Kangsar pada 8.30 pagi sebelum tiba di kampung halamannya di Parit, kira-kira 1 tengah hari.

Murad berkata, dia mendayung rakit sebagai 'pemanas badan' selepas hampir tiga bulan tidak menjalankan aktiviti itu susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik wabak Covid-19.

Menurutnya, dia juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selain turut memaklumkan aktivitinya itu kepada pihak berkuasa sebagai langkah keselamatan.

"Saya mahu mencipta sedikit kelainan pada sambutan Aidilfitri kali ini kerana menyedari perayaan agak berbeza, malah tiga anak dan seorang menantu tidak dapat beraya bersama berikutan terkandas di Kuala Lumpur.

"Justeru, idea berakit kerana mahu merakam suasana hari raya untuk diberikan kepada anak dan cucu, selain menjadi pengubat kerinduan kepada mereka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, aktiviti berakit itu adalah yang kedua dilakukan pada Aidilfitri dengan dayungan pertama dilakukan pada 2016 bermula dari Kuala Kangsar hingga ke Pasir Salak.

"Aktiviti ini memberi kesempatan kepada saya berbalas ucapan hari raya dengan penduduk beberapa kampung di persisiran sungai yang dilalui sepanjang perjalanan.

"Saya berbusana Melayu bagi menyemarakkan semangat sambutan hari raya biarpun suasananya agak berbeza tahun ini," katanya yang diiringi jurulatih kayak dan pembantunya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 5:26 PM