PETUGAS TNB Batu Pahat, Mohd Hamidi Mad Tap menganggap bertugas pada 1 dan 2 Syawal adalah satu tanggungjawabnya kepada masyarakat. FOTO Bernama
PETUGAS TNB Batu Pahat, Mohd Hamidi Mad Tap menganggap bertugas pada 1 dan 2 Syawal adalah satu tanggungjawabnya kepada masyarakat. FOTO Bernama
BERNAMA

TANPA disedari, tahun ini adalah tahun ke-26 Mohd Hamidi Mad Tap tidak dapat menyambut ketibaan Syawal bersama keluarga kerana tugasan 'getir' dalam memastikan bekalan elektrik sentiasa disalurkan tanpa gangguan kepada pengguna sepanjang Aidilfitri.

Namun, Mohd Hamidi, 44, berkata itu bukan masalah besar kepada dirinya kerana sudah biasa dengan keadaan itu sejak berkhidmat sebagai pemasang jangka di Tenaga Nasional Berhad (TNB) Batu Pahat, walaupun pada awalnya agak terkesan daripada segi emosi.

"Bak kata pepatah 'alah bisa tegal biasa', akhirnya saya lali dengan situasi ini. Saya bertugas pada penghujung bulan Ramadan dan awal Syawal kerana ketika itu, penggunaan elektrik memuncak, jadi saya perlu bersiap sedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan," katanya semasa dihubungi Bernama, hari ini.

Mohd Hamidi berkata, memandangkan kerjanya amat 'kritikal', beliau hanya akan mula mengambil cuti pada Hari Raya ketiga atau keempat (3 atau 4 Syawal) atau pada pertengahan Syawal sahaja.

Namun, beliau tidak menganggap kerjanya itu membebankan kerana merasakan ia satu tanggungjawab besar untuk memastikan masyarakat sentiasa mendapat bekalan elektrik.

"Kebiasaannya pada awal pagi 1 Syawal, saya akan memulakan tugas pada 6 pagi, bermakna saya terpaksa mengorbankan waktu untuk solat sunat Aidilfitri.

"Selain perlu bertugas pada 1 Syawal, saya pernah berbuka puasa di atas tiang elektrik beberapa kali untuk membaiki kerosakan diadukan kepada pihak TNB," kata bapa kepada tiga anak itu.

Mohd Hamidi berkata, beliau berterima kasih kepada isterinya kerana sentiasa menyokong pekerjaan dilakukan dan tidak pernah merungut jika tidak dapat menyambut 1 dan 2 Syawal bersama-sama.

Isterinya, Hanifah Jaini, 42, memberitahu di awal perkahwinan mereka pada 2001, memang berasa agak janggal bila tidak dapat menyambut 1 dan 2 Syawal bersama suami.

"Tetapi saya perlu faham kerana kebiasaannya dia akan berhari raya dengan kami setelah habis tugasan. Lagipun, kerjanya sebagai petugas barisan hadapan', memang sudah begitu lumrahnya," kata Hanifah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 6:08 PM