Saipul Adli Mohamad; Suraya Roslan dan Muhaamad Hafis Nawawi


SEORANG kakitangan pentadbiran Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Semenyih disahkan positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kakitangan itu adalah warga tempatan manakala 65 lagi yang positif membabitkan warga asing.

"Kita masih menyiasat bagaimana jangkitan terhadap kakitangan itu boleh berlaku sama ada menerusi tahanan warga asing atau dari luar.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga sudah melakukan ujian saringan terhadap kakitangan lain di DTI Semenyih termasuk mengesan kontak rapat pesakit.

"Ini termasuk keluarga terdekat kakitangan berkenaan juga sudah diarah membuat ujian saringan Covid-19," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Bagi kluster DTI Semenyih, sebanyak 1,757 sampel diambil yang terdiri daripada 1,630 orang kena tahan (OKT) dan 127 kakitangan.

Daripada jumlah itu, 66 kes adalah positif, 753 kes negatif dan 938 sampel masih menunggu keputusan.

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 7:01 PM