HAJIJAH Pawi sedang memotong sayur untuk di masak bersama anak lelakinya, Muhammad Zulirfan Zulkifli selepas keluar dari Hospital Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
HAJIJAH Pawi sedang memotong sayur untuk di masak bersama anak lelakinya, Muhammad Zulirfan Zulkifli selepas keluar dari Hospital Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


TIADA saat menyedihkan bagi ibu tunggal ini apabila terpaksa meninggalkan dua anak di rumah apabila dimasukkan ke hospital untuk rawatan penyakit misteri dihidapinya sejak setahun lalu.

Ibu tunggal ini, Hajijah Pawi, 47, berkata, dia dimasukkan ke Hospital Port Dickson (HPD) sehari sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi membuang cecair yang berada di dalam perutnya yang membusung.

"Saya dan anak, Muhammad Zulirfan Zulkifli, 14, dan Nur Qariesha Safira, lapan tahun, baru sahaja berpindah ke rumah sewa di Taman Wawasan, Lukut sejak seminggu lalu, atas bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selepas hampir tiga tahun menyewa di rumah kedai di Taman Naga tidak jauh dari sini.

"Doktor berjaya mengeluarkan sebanyak 7.5 liter cecair berwarna kuning dari perut saya namun masih buntu mengesan jenis penyakit menyebabkan perut saya seperti wanita mengandung," katanya ketika ditemui di rumah kakak angkatnya di Kampung Sri Parit sebaik dibenarkan keluar dari hospital tadi.

Katanya, hanya anak sulungnya yang menemankan dia di hospital tetapi anak perempuannya tinggal bersama jiran yang sanggup membantu menjaganya.

"Saya sebatang kara di sini kerana keluarga berada di Miri, Sarawak. Nasib baik ada jiran dan kakak angkat yang banyak membantu saya dan anak-anak.

"Pada Hari Raya yang di sambut semalam, saya hanya mampu menangis sebaik terdengar takbir raya teringatkan anak-anak yang tinggal di rumah jiran, harap mereka faham kesusahan ini adalah cabaran untuk mereka belajar dengan rajin bagi mengubah kehidupan mereka di masa hadapan kerana saya tidak pasti setakat mana usia saya," katanya sambil menangis.

Hajijah berkata, buat masa sekarang sewa rumah sebanyak RM500 sebulan perlu disediakan yang dibantu e-Kasih separuh RM250 sebulan sehingga hujung tahun ini.

"Saya mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM270 sebulan dan perlu membayar sewa rumah lagi. Itu yang memeningkan kepala saya kerana baki hanya tinggal RM20 belum tolak lagi duit utiliti, api dan air.

"Kedua-dua anak saya tidak pernah merasai pakaian baru hari raya namun mereka faham sebab nak makan pun tak cukup, mereka cuma berharap agar tidak berpisah dengan saya walau apa keadaan pun, itu yang buat saya terharu kerana ada beberapa orang yang minta menjadikan mereka anak angkat," katanya.

Tambahnya, ada NGO dan beberapa individu yang membantu membeli beberapa peralatan rumah seperti mesin basuh, almari, sofa, meja panjang, katil besi, tilam dan sebuah televisyen.

"Terima kasih kepada penyumbang, hanya Allah SWT yang dapat membalas budi baik mereka, saya amat terharu namun perlu juga memikirkan beberapa perkara terutama berkaitan persekolahan anak-anak di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Jumaat dan Sekolah Kebangsaan Kampung Gelam.

"Saya berharap anak-anak tabah kerana saya nak berjalan pun tak mampu, hanya menggunakan kerusi roda atau tongkat. Duit simpanan pun habis digunakan untuk membayar deposit sewa rumah sebanyak RM1,500," katanya.

Orang ramai yang mahu menyumbang bagi meringankan beban keluarga ini bolehlah terus menghubungi Hajijah di talian 019-5826405.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 7:01 PM