X
ANGGOTA polis memeriksa rumah dihadiri ramai tetamu pada hari raya kedua di Taman Selayang Mutiara, Gombak, hari ini. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
ANGGOTA polis memeriksa rumah dihadiri ramai tetamu pada hari raya kedua di Taman Selayang Mutiara, Gombak, hari ini. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Nurul Hidayah Bahaudin


TETAMU datang tanpa undangan. Itu alasan diberikan pemilik rumah di Taman Selayang Mutiara, Gombak, Kuala Lumpur yang didapati mengumpul 18 individu dalam kediaman berkenaan, hari ini.

Pemeriksaan polis di rumah itu pada 5 petang hari ini mendapati 18 penghuni rumah serta tetamu berada di kediaman itu sempena Aidilfitri meskipun aktiviti ziarah tidak dibenarkan selepas Hari Raya pertama.

Pemilik rumah berusia 50-an itu mendakwa tetamu datang ke rumahnya tidak dijemput, sebaliknya kehadiran mereka tanpa diketahuinya.

Bagaimanapun, seorang daripada beberapa tetamu di dalam rumah berkenaan pula memaklumkan mereka dijemput pemilik rumah untuk datang beraya hari ini.

"Saya datang ke rumah saudara ini sebab tidak sempat untuk ke sini semalam kerana bekerja," katanya.

Seorang lagi tetamu lelaki berusia 19 tahun berkata, dia dijemput rakannya yang juga anak kepada pemilik rumah berkenaan untuk datang beraya.

"Saya tinggal di kawasan perumahan ini dan datang selepas dijemput rakan untuk beraya.

"Saya tahu beraya hari kedua adalah satu kesalahan, tetapi saya datang juga dan tidak menyangka polis akan datang untuk periksa rumah ini," katanya yang baru sahaja tiba di rumah berkenaan ketika pemeriksaan dilakukan.

Dalam pemeriksaan itu, pemilik rumah berkenaan ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan kebenaran untuk menjalankan aktiviti kunjung-mengunjung pada hari raya pertama sahaja membabitkan Aidilfitri, Pesta Kaamatan di Sabah dan Hari Gawai di Sarawak di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 7:54 PM