X
PUTERI Nor Farisha dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu selepas mengalami sakit perut dan muntah dipercayai akibat makan puding buih. FOTO ihsan keluarga.
PUTERI Nor Farisha dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu selepas mengalami sakit perut dan muntah dipercayai akibat makan puding buih. FOTO ihsan keluarga.
Zatul Iffah Zolkiply


KANAK-KANAK perempuan bersama lima sepupunya yang mengalami keracunan makanan selepas menikmati puding buih ketika berbuka puasa terakhir, kelmarin terpaksa menyambut Aidilfitri di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Terdahulu, mangsa Puteri Nor Farisha Damia Mohd Faizul, 11, dan sepupunya mengadu sakit perut dan muntah sebelum ditahan di wad untuk rawatan lanjut.

Bapanya Mohd Faizul Hamzah, 35, berkata anaknya mula sakit perut dan muntah pada 5 pagi semalam dan lima sepupunya berusia enam hingga 20 tahun turut mengalami nasib sama selepas menikmati hidangan pencuci mulut itu.

Katanya, anak saudara berusia 20 tahun membawa dua bekas puding buih dibeli daripada rakannya untuk berbuka puasa, kelmarin dan enam sepupu termasuk anaknya berkongsi makanan itu.

"Anak saudara yang mengalami muntah dan sakit perut pada malam kelmarin dikejarkan ke HSNZ tetapi dibenarkan pulang selepas rawatan, namun terpaksa pergi ke hospital semula dan ditahan di wad apabila keadaannya semakin serius.

"Anak mengalami nasib sama pada pagi raya (semalam) dan dia bersama sepupunya bergilir-gilir berulang-alik ke tandas dengan pakaian raya.

"Melihat keadaan anak semakin lemah, saya membawa dia bersama dua sepupunya ke HSNZ, tengah hari semalam manakala dua lagi anak saudara ditahan di wad pagi ini," katanya.

Katanya, selain ahli keluarganya, terdapat beberapa mangsa lain turut menerima rawatan di HSNZ akibat keracunan makanan dipercayai kerana makan hidangan sama.

"Penjual puding buih itu ada hubungi selepas salah seorang ahli keluarga memuat naik status mengenai perkara itu dalam laman sosial Facebook.

"Dia (peniaga) meminta maaf dan mahu memulangkan semula duit, tetapi saya cakap sedekahkan saja duit itu kepada masjid.

"Memang sedih sebab anak memang teruja mahu menyambut hari raya, tetapi terpaksa beraya di hospital.

"Saya maafkan penjual itu sebab dia bukan sengaja, namun berharap kes ini dijadikan iktibar kepada peniaga lain supaya lebih berhati-hati," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, sehingga 12 tengah hari hari ini, seramai 48 orang dilaporkan mengalami keracunan makanan selepas menikmati puding buih dibeli secara dalam talian pada Jumaat lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, 20 daripadanya dimasukkan ke HSNZ dengan seorang daripada ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), namun berada dalam keadaan stabil.

"Empat lagi dimasukkan ke hospital swasta, manakala selebihnya dirawat sebagai pesakit luar dengan majoriti pesakit mengalami sakit perut dan cirit-birit.

"Kami masih meneruskan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian keracunan makanan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 10:14 PM