KEADAAN kedua-dua kenderaan selepas kemalangan. FOTO Ihsan pembaca.
KEADAAN kedua-dua kenderaan selepas kemalangan. FOTO Ihsan pembaca.
BERNAMA

LELAKI maut selepas keretanya dirempuh sebuah kereta yang dipandu melawan arus, dipercayai akibat pengaruh alkohol di Jalan Pintasan Kuantan, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, dalam kejadian 9.20 malam itu, mangsa, Irwan Herman Kamarudin, 41, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan dada.

"Mangsa yang memandu kereta Toyota Yaris difahamkan dalam perjalanan dari rumah di Sungai Isap Perdana ke Gabeng kerana bekerja syif malam sebelum kenderaannya dirempuh sebuah Toyota C-HR yang dipandu melawan arus dan dalam keadaan berbahaya.

"Kereta itu dipercayai mula dipandu melawan arus dari susur masuk Jalan Pintasan Kuantan di Semambu menyebabkannya hampir bertembung dengan beberapa buah kenderaan lain yang perlu mengelak daripada berlanggar," katanya semasa dihubung, hari ini.

Kamarulzaman berkata, kenderaan berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun dan bekerja sebagai peraih ikan, dipercayai telah mengambil minuman keras di rumah kawannya di Semambu sebelum kejadian.

Katanya, lelaki itu turut cedera ringan di kaki dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk pemeriksaan sebelum direman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata mayat mangsa juga dihantar ke HTAA untuk bedah siasat yang akan dijalankan selepas selesai ujian Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 9:40 AM