MANGSA lemas selepas bot dinaiki melanggar rumah api. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
MANGSA lemas selepas bot dinaiki melanggar rumah api. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


NELAYAN dipercayai lemas selepas bot dinaiki bersama dua rakan terlanggar rumah api di Perairan Kuala Kurau, Parit Buntar, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, awak-awak, Loke Kok Aun, 48, keluar bersama rakan untuk menangkap ikan.

Ahli keluarganya yang enggan dikenali berkata, sewaktu dalam perjalanan, bot dipandu tekong dikatakan terlanggar rumah api dan menyebabkan mangsa tercampak ke dalam laut.

"Mangsa tercampak ke dalam laut manakala bot dinaiki mereka pula pecah dan karam.

"Menyedari mangsa terjatuh, tekong bot yang juga rakan mereka bertindak terjun mencari dan menyelamatkan mangsa.

"Tidak lama kemudian mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dibawa naik ke rumah api sebelum dibawa ke pelantar oleh bot lain," katanya ketika ditemui di pekarangan Forensik Hospital Parit Buntar.

Menurutnya, sebaik tiba di jeti pelantar Kuala Kurau, mangsa disahkan sudah meninggal dunia dan dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk tindakan lanjut.

Dia berkata, mangsa yang tidak berkahwin baru dua tahun menjadi nelayan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kes kemalangan di laut disiasat oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Menurutnya, mangsa dibawa ke Forensik Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 1:59 PM