Gambar hiasan
Gambar hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque


POLIS menafikan video seorang lelaki terbaring di Taman Usahawan Kuchai, Kuala Lumpur, yang tular hari ini dikaitkan dengan Covid-19.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin berkata, berdasarkan siasatan, lelaki terbabit tidak sedarkan diri kerana diserang sakit jantung dan rebah di lokasi kejadian.

Menurutnya, polis menerima mesej mengenai penularan kejadian itu 11.30 malam, Ahad lalu sebelum anggota dihantar ke lokasi untuk siasatan.

"Pegawai perubatan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hadir dengan memakai pakaian perlindungan diri (PPE) untuk melakukan pemeriksaan lanjut 7.55 malam.

"Mangsa berusia 33 tahun terjatuh di depan sebuah kedai kerana diserang sakit jantung dan dikejarkan ke PPUM untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami pendarahan otak dan masih koma, namun ujian Covid-19 adalah negatif.

Menurutnya, orang ramai diminta tidak bimbang dengan kejadian itu dan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih terkawal di lokasi kejadian.

Katanya, orang ramai dinasihatkan untuk berhubung dengan Pusat Pengurusan Operasi Negara ditalian 03-88882010 atau hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields ditalian 0322979222 untuk maklumat lanjut.

Menerusi video berdurasi 52 saat yang tular di laman sosial menunjukkan petugas kesihatan memakai PPE sedang memberi rawatan kepada seorang lelaki yang tidak sedarkan diri kerana disangka dijangkiti Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 10:56 PM