X
Mazlan. FOTO Arkib NSTP
Mazlan. FOTO Arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SERAMAI 126 individu ditahan dan dikompaun dalam lima operasi berasingan di Cheras dan Brickfields, Kuala Lumpur hari ini selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, individu berusia 18 hingga 59 tahun itu didapati melanggar PKPB di pusat beli-belah, pusat hiburan dan sebuah premis.

"Hasil pemeriksaan di dua premis di pusat beli-belah di Cheras semalam, seramai 74 warga tempatan termasuk 22 wanita dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk tindakan kompaun.

"Turut ditahan, seorang lelaki warga Nepal dan seorang wanita Vietnam kerana disyaki tiada dokumen perjalanan sah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mazlan berkata, dalam serbuan berasingan pihaknya menahan 10 individu termasuk empat wanita Thailand dan seorang lelaki warga India di sebuah pusat hiburan di Sri Hartamas, pada hari sama.

"Ujian saringan awal air kencing dijalankan terhadap semua suspek mendapati empat lelaki tempatan dan tiga wanita Thailand positif dadah syabu.

"Mereka turut dikenakan kompaun kerana melanggar arahan PKPB. Operasi keempat pada hari sama turut menahan 23 orang termasuk dua wanita di sebuah premis di Mont Kiara di Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata, dalam operasi dan pemeriksaan kelima di sebuah premis di Taman Tun Dr Ismail polis mengeluarkan kompaun terhadap 19 individu termasuk enam lelaki Bangladesh kerana ingkar PKPB.

"Semua individu berkenaan dikompaun mengikut Peraturan 15 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (no 6) (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.

"Bagi warga asing yang ditahan, mereka disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 11:26 PM