GAMBAR terakhir Mohd Ismail (dua dari kanan) bersama tiga anaknya pada Aidilfitri lalu, sebelum mereka hilang dikhuatiri lemas. FOTO Ihsan keluarga.
GAMBAR terakhir Mohd Ismail (dua dari kanan) bersama tiga anaknya pada Aidilfitri lalu, sebelum mereka hilang dikhuatiri lemas. FOTO Ihsan keluarga.
Zaid Salim


TIGA beradik yang hilang di Sungai Terengganu dekat Kampung Kuala Telemong, Hulu Terengganu, semalam sengaja memilih untuk berpakaian sedondon pada Aidilfitri dan bergambar berpelukan dengan bapa mereka.

Mohd Ismail, 64, berkata, pada mulanya dia tidak menganggap permintaan itu suatu yang pelik kerana hubungan akrabnya dengan anak, Umar Iskandar, 21; Khairil Firdaus, 17; dan Khalif Naim, 16.

"Memang janggal sikit apabila mereka ajak bergambar sebab kebiasaan raya, kami akan bersama keluarga tetapi saya tidaklah anggap pelik. Mereka juga minta saya peluk.

"Cuma saya tidak sangka kini saya kehilangan ketiga-tiganya," katanya ketika ditemui malam tadi.

Dalam kejadian 6.30 petang semalam, tiga beradik itu hilang selepas dipercayai mandi di sungai terbabit yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah mereka.

Mohd Ismail yang juga pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, dia kematian isteri lebih 10 tahun lalu dan sukar melalui kehilangan tiga anak serentak.

Katanya, ketika kejadian itu dia tidak berada di rumah kerana ke masjid berhampiran untuk membersihkan kawasan sekitarnya.

"Saya ke masjid kira-kira 5.30 petang dan ketika itu tiga anak membersihkan rumah sebelum didatangi sepupu mereka yang bawa lemang.

"Kira-kira 7 malam, anak saudara menemui saya di masjid dan meminta segera pulang. Dia tidak cerita apa-apa dan saya menyangka ada orang curi kelapa saya lagi kerana ia kerap berlaku.

"Malangnya, saya dibawa ke tebing sungai dan ditunjukkan pakaian, selipar serta telefon bimbit anak. Dalam hati sudah mengagak anak mungkin lemas," katanya yang memberitahu anaknya jarang mandi di sungai itu.

Dia reda dengan kejadian itu namun berharap tiga anaknya segera ditemui dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dipermudahkan.

Berita berkaitan

3 beradik dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 9:04 AM