GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Abdul Rahemang Taiming


PENDATANG asing tanpa izin dikesan menggunakan laluan tikus di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) untuk menyusup keluar masuk ke Sabah.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah, (ESSCOM) Datuk Hazani Ghazali berkata, sebahagian laluan itu ada dikesan dari Pulau Sebatik, Tawau ke Kalabakan dan sehingga di Long Pasia dekat Sipitang.

Beliau menjelaskan, kumpulan pendatang terbabit kebiasaannya menggunakan laluan itu untuk memasuki Sabah daripada Indonesia bagi mengelak dicekup pasukan keselamatan.

Bagaimanapun, katanya, tindakan pendatang haram itu hanya mengakibatkan diri mereka berdepan tindakan dan hukuman undang-undang di Malaysia apabila tertangkap.

"Laluan tikus ini sentiasa dalam radar pemantauan pasukan keselamatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Hazani berkata terbaharu pihaknya berjaya mengesan enam individu dari Indonesia menyusup masuk ke Sabah menggunakan laluan tikus di Kalabakan.

"Tindakan mereka ini boleh menyebabkan ancaman penularan jangkitan Covid-19.

"Sehubungan itu, kita juga bekerjasama dengan Pejabat Kesihatan Kawasan agar kesemua mereka yang dikesan ini menjalani ujian saringan Covid-19," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, lebih 20 pendatang haram yang dikesan cuba memasuki negeri ini melalui Kalabakan di usir serta-merta oleh pasukan keselamatan dalam dua kes berasingan pada awal bulan ini.

"Kita sama sekali tidak akan berkompromi atau membenarkan mereka mendarat dan tindakan pengusiran akan diambil serta-merta," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 10:33 PM