X
FENOMENA belalai air yang di persisiran pantai Kuala Perlis. FOTO Ihsan Pembaca
FENOMENA belalai air yang di persisiran pantai Kuala Perlis. FOTO Ihsan Pembaca
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


FENOMENA belalai air yang muncul di pantai Kuala Perlis petang hari ini disebabkan peralihan monsun timur laut ke monsun barat daya yang lazimnya berlaku pada Mei.

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) Perlis, Mohd Saharudi Saad berkata, fenomena garis badai (squall line) yang membawa hujan lebat dan angin kencang boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah.

"Lazimnya, corak cuaca akan sering menunjukkan kejadian ribut petir khususnya pada sebelah lewat petang dan malam.

"Ia terhasil daripada awan Kumulonimbus (Cb) yang boleh menyebabkan hujan lebat, langkisau, kejadian kepala air, hujan batu dan kejadian belalai air," katanya ketika dihubungi di Kangar, hari ini.

Saharudi menasihati agar mereka yang sering turun ke laut untuk berhati-hati sekiranya berlaku fenomena sebegini di pantai.

"Bahaya kepada bot kecil dan lazimnya kejadian ini berlaku ketika musim peralihan monsun," katanya.

Sebelum ini tular beberapa rakaman dan foto yang dimuat naik pengguna di media sosial berikutan fenomena belalai air yang berlaku di persisiran pantai Kuala Perlis kira-kira 7 petang hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 10:57 PM