FOTO hiasan
FOTO hiasan


LELAKI berusia 45 tahun yang memuat naik kenyataan di Facebook (FB) memperlekeh kebenaran 12 jemaah menunaikan solat Jumaat di Johor dijangka dituduh di Mahkamah Majistret Kulai, Isnin ini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, lelaki itu menyerah diri pada 19 Mei lalu, jam 9 pagi dan telefon bimbit miliknya dirampas.

Katanya, suspek yang ditahan reman bermula 20 sehingga 22 Mei lalu diberi jaminan polis.

"Suspek diberi jaminan polis kerana kita masih menunggu laporan dan pengesahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bahawa dia pemilik akaun FB itu.

"Semalam, kita sudah memperoleh laporan dan pengesahan SKMM. Kami akan rujuk kertas siasatan kepada pendakwa raya Ahad ini untuk arahan lanjut. Kemungkinan kita akan dakwa dia pada Isnin," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, hari ini.

Pada 16 Mei lalu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi membuat laporan polis berhubung kenyataan jelek pemilik akaun FB susulan keputusan membenarkan 12 jemaah menunaikan solat di masjid.

Pemilik itu memuat naik status dipercayai pada 13 Mei lalu yang dilihat secara tidak langsung mengancam keharmonian kaum.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 12:16 PM