X
SEDI Kedit, hanya tinggal seorang diri dan menghuni rumah usang di Batu 36, Jalan Bintulu-Miri. FOTO Norsyazwani Nasri
SEDI Kedit, hanya tinggal seorang diri dan menghuni rumah usang di Batu 36, Jalan Bintulu-Miri. FOTO Norsyazwani Nasri
Norsyazwani Nasri


KEMERIAHAN Hari Gawai tidak pernah dirasai Sedi Kedit, 80, yang seorang diri menghuni rumah usang di Batu 36, Jalan Bintulu-Miri di sini.

Rumahnya yang dibina lima tahun lalu itu dikelilingi semak malah bahang cuaca panas begitu terasa di dalam kediaman berkenaan.

Sedi yang mahu disapa sebagai 'Indai Man' berasal dari Nanga Awik Krian, Saratok. Dia menetap di Bintulu sejak lebih 20 tahun lalu.

"Pada awalnya, saya mengikut suami bekerja di ladang sebelum memutuskan untuk terus menetap di sini.

"Rumah saya tiada elektrik dan saya membeli penjana kuasa tenaga solar dua tahun lalu yang digunakan untuk pelbagai keperluan seperti mengecas telefon bimbit," katanya.

Namun sekiranya cuaca mendung, ia hanya mampu digunakan ketika malam saja.

"Saya bergantung sepenuhnya kepada air hujan untuk kegunaan seharian. Pada usia ini, saya masih perlu berjuang demi kelangsungan hidup.

"Saya turut bercucuk tanam di tepi rumah, saya turut menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Menurut Sedi, selain menjual hasil tanaman, dia turut menternak ayam kampung, juga untuk jualan.

"Ayam kampung ini saya jual kepada orang ramai yang lalu lalang di sekitar kediaman.

"Namun, hasilnya agak terbatas memandangkan ayam yang dibela sering dimakan biawak yang masuk ke halaman rumah," katanya.

Menurutnya, hasil perkahwinan pertama, dia dikurniakan empat anak yang kini masing-masing menetap di Kuching, Sibu dan Saratok.

"Hasil perkahwinan kedua bersama Juti Digat, saya dikurniakan seorang anak lelaki, Seman Juti, berusia 30-an.

"Suami meninggal dunia akibat sakit tua pada 2016, anak pula mempunyai tanggungjawab sendiri untuk keluarga dan saya tidak mahu menyusahkan mereka," katanya.

Sedi ditemui ketika menerima sumbangan makanan daripada Yayasan Petronas pada Program Sentuhan Kasih bersempena dengan perayaan Aidilfitri, Kaamatan dan Gawai.

Program ini yang dilancarkan pada 2005 bertujuan meringankan beban ribuan keluarga berpendapatan rendah di seluruh negara.

Sedi antara 1,200 keluarga di Sarawak dan 5,000 keluarga di seluruh Malaysia yang menerima sumbangan daripada Petronas tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 4:13 PM