APLIKASI tersebut bagi merekodkan maklumat dan kehadiran setiap pengunjung di premis tersebut. FOTO Bernama
APLIKASI tersebut bagi merekodkan maklumat dan kehadiran setiap pengunjung di premis tersebut. FOTO Bernama
Noor Atiqah Sulaiman


PREMIS yang gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan termasuklah mengambil data peribadi pelanggannya boleh dikenakan denda sehingga RM300,000.

Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia memaklumkan, anggota penguatkuasanya akan menjalankan pemantauan bagi menilai tahap pematuhan premis perniagaan kepada tatacara pengendalian aktiviti pengumpulan, pemprosesan dan penyimpanan data peribadi..

Menurutnya, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan jika premis perniagaan berkenaan gagal mematuhi SOP ditetapkan.

"Kegagalan bagi mana-mana premis perniagaan untuk mematuhi perkara ini, dan sekiranya disabitkan di bawah Akta 709, boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

JPDP berkata, pengumpulan data peribadi pengunjung atau pelanggan di premis perniagaan perlulah dibuat berdasarkan kepada keperluan yang minimum dan tidak berlebihan.

"Dalam hal ini, adalah memadai hanya nama, nombor telefon yang boleh dihubungi dan tarikh serta masa ketibaan pelanggan untuk direkodkan.

"Kaedah bagi pengumpulan data peribadi ini tertakluk kepada premis perniagaan sama ada ia direkodkan secara manual atau digital.

"Selain itu, satu notis yang jelas mestilah dipaparkan sebagai makluman kepada pelanggan berhubung tujuan pengumpulan data peribadi mereka. Notis berkenaan perlu ditempatkan pada ruangan yang jelas dilihat oleh pengunjung atau pelanggan premis perniagaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 2:40 PM