X
GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Hidayah Tanzizi


"KAMI sekeluarga terhutang nyawa dan budi dengan ustaz. Seperti rasa Allah SWT berikan nyawa kedua kepada anak."

Begitu kata Halim Osman, 47, bapa kepada Nur Ezzati Azuwa, 18, seorang daripada empat remaja perempuan yang hampir lemas dalam tali air di Kilometer 28 Jalan Bota Kiri-Ulu Dedap, Kampung Gajah dekat Bota, Rabu lalu.

Dalam kejadian itu, Nur Ezzati Azuwa dan tiga rakannya diselamatkan oleh guru kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Muhammad Nor Imran Maula Abd Jalil, 31.

Menurut Halim, pengorbanan Muhammad Nor Imran yang sanggup mengadai nyawa untuk menyelamatkan anaknya dan tiga mangsa lain tidak akan dapat dibalas.

"Saya terharu hingga menitiskan air mata mengenangkan pengorbanan ustaz yang sanggup menyelamatkan anak dan rakan-rakannya.

"Aturan dan kebetulan yang Allah takdirkan ini sangat cantik kerana menghantar ustaz untuk menyelamatkan mereka.

"Bantuan ustaz dengan izin Allah memberi peluang kepada anak dan mangsa lain terus bernafas. Terima kasih ustaz... hanya Allah saja yang boleh membalas jasa itu," katanya sebak ketika dihubungi, hari ini.

Halim berkata, dia tidak dapat membayangkan apa yang akan berlaku jika Muhammad Nor Imran tidak melalui lokasi kejadian kerana laluan berkenaan kurang dilalui kenderaan selain agak sunyi.

"Anak saya berpaut dengan kayu dan dia tidak pandai berenang. Dia cuba ke tepi (tebing), tetapi tidak boleh kerana arus deras ketika itu.

"Anak beritahu dia hanya ingat Allah saja dan saya tahu jika tiada sesiapa yang bantu mereka pasti sesuatu lebih buruk boleh berlaku. Itu sebab saya bersyukur sangat kerana ustaz membantu mereka," katanya.

Katanya, anaknya kini berada dalam keadaan baik, namun trauma dengan kejadian itu.

"Anak sangat berterima kasih dengan ustaz dan amat terhutang nyawa. Dia juga mahu berjumpa dengan ustaz dan saya akan bawa dia bersama keluarga selepas ini.

"Saya juga mahu berterima kasih kepada pasangan suami isteri yang turut membantu dalam kejadian itu," katanya.

Katanya, dia hanya mengetahui Muhammad Nor Imran membantu anaknya daripada Facebook dan sudah bertemu dengannya untuk mengucapkan terima kasih atas bantuan yang diberikan.

"Saya berikan sumbangan sebagai tanda penghargaan namun saya tahu nilainya tidak sama dengan pengorbanan ustaz yang tidak akan dapat dibalas," katanya.

Dalam kejadian pada 12.05 tengah hari itu, empat remaja terbabit dihanyutkan arus selepas kereta dinaiki bersama seorang lagi rakan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam tali air berkenaan.

Bagaimanapun, seorang mangsa berjaya menyelamatkan diri dan meminta bantuan daripada Muhammad Nor Imran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 10:09 PM