LELAKI berusia 35 tahun yang mengaku bersalah turut berdepan hukuman lima bulan penjara sekiranya gagal membayar denda. FOTO Juwan Riduan
LELAKI berusia 35 tahun yang mengaku bersalah turut berdepan hukuman lima bulan penjara sekiranya gagal membayar denda. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


LELAKI yang diarahkan menjalani kuarantin rumah di Kampung Cenderakasih, di sini, didenda RM1,500 selepas didapati melanggar arahan berkenaan.

Lelaki berusia 35 tahun itu yang mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, semalam turut berdepan hukuman lima bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Dia diarah menjalani kuarantin selepas dipercayai berhubung rapat dengan seorang pesakit Covid-19 namun gagal dikesan selepas itu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, lelaki terbabit ditahan pada 28 Mei lalu selepas dipercayai berpindah ke lokasi baharu di Kudat.

Katanya, tertuduh pada awalnya diperintahkan menjalani arahan kuarantin di Kampung Cenderakasih, Kota Kinabalu dalam tempoh 8 Mei sehingga 21 Mei.

"Pihak hospital memberitahu ujian saringan Covid-19 pertama yang dijalankan terhadap lelaki itu disahkan negatif namun diarahkan menjalani kuarantin rumah.

"Bagaimanapun, sehari sebelum ujian kedua dijalankan 20 Mei lalu, pihak berkuasa hospital gagal mengesan lelaki terbabit dan satu laporan polis terus dibuat terhadapnya," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Habibi berkata, berdasarkan laporan polis itu, operasi memburu suspek dijalankan hari yang sama.

Sementara itu, Habibi berkata, tahap pematuhan masyarakat kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah menjadi penentu kejayaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 10:52 AM