ANTARA sebahagian individu yang ditahan dalam Operasi Khas Motosikal di daerah Ampang Jayai. FOTO IHSAN PDRM
ANTARA sebahagian individu yang ditahan dalam Operasi Khas Motosikal di daerah Ampang Jayai. FOTO IHSAN PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi

CALON Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) antara 15 individu yang ditahan dalam Operasi Khas Motosikal di Ampang selepas mereka berkumpul dan cuba melakukan aktiviti lumba haram dengan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) awal pagi hari ini.

Operasi itu disertai seorang seorang pegawai dan 23 anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Ampang Jaya dipecahkan kepada dua kumpulan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, kumpulan pertama operasi menahan dan memeriksa lapan individu yang daripada terdiri tujuh lelaki dan seorang wanita termasuk calon SPM terbabit di kawasan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Pandan Perdana pada 2.30 pagi.

Menurutnya, mereka yang ditahan itu berusia 16 hingga 37 tahun didapati berkumpul bersama motosikal masing-masing di sebuah stesen minyak dan disyaki mahu melakukan aktiviti lumba haram.

"Seterusnya pada 3.30 pagi, kumpulan kedua operasi mengesan enam lelaki dan seorang wanita berusia 18 hingga 25 tahun sedang berkumpul bersama motosikal berhampiran Flat Pandan Indah.

"Menyedari kehadiran pihak polis, mereka cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap dan pemeriksaan terhadap mereka tidak menemui barang salah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Azmi berkata, mereka dibawa balik ke Balai Polis Pandan Indah untuk tindakan lanjut (kompaun) mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

"Pemilik motosikal juga dikeluarkan saman trafik atas pelbagai kesalahan dan 13 buah motosikal disita.

"Dalam tempoh PKPB ini, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak kerajaan," katanya.

Beliau berkata, ibu bapa dan penjaga juga dinasihatkan sentiasa mengawasi anak masing-masing supaya tidak terbabit dengan aktiviti berkumpulan yang boleh menyumbang ke arah gejala yang tidak sihat.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 4:34 PM