X
SYED Saddiq Syed Abdul Rahman. FOTO arkib NSTP
SYED Saddiq Syed Abdul Rahman. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


MAJORITI cawangan dan bahagian termasuklah sayap Armada dan Srikandi menyatakan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden yang juga pemangku Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Penerangan Bersatu Titiwangsa, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkata, tohmahan yang dibuat dalam sidang media bekas Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semalam bukan saja menunjukkan kefahaman yang salah terhadap intipati perlembagaan parti, malah turut menimbulkan fitnah ke atas Bersatu dan barisan kepimpinannya.

Katanya, Syed Saddiq juga tidak mempunyai hak untuk bercakap atas tiket Armada kerana keahliannya dan empat individu lainnya gugur secara automatik dan beliau bukan lagi Ketua Armada Nasional.

"Adalah perlu ditegaskan bahawa selain daripada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti iaitu badan eksekutif tertinggi di luar perhimpunan agung, majoriti cawangan dan bahagian termasuklah sayap Armada dan Srikandi sudah menyatakan sokongan mereka kepada Tan Sri Presiden yang juga pemangku pengerusi.

"Tindakan yang diambil Presiden hanyalah semata-mata untuk mengukuhkan kedudukan Bersatu dan menstabilkan kerajaan hari ini. Ini adalah tanggungjawab beliau yang sah di sisi perlembagaan parti dan tugas beliau sebagai pemimpin negara," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, soal kebersamaan Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) adalah sesuatu yang 'akademik' dan ia diputuskan oleh MPT dan dilaksanakan, malah sebuah kerajaan baharu yang diterajui Perdana Menteri sudah terbentuk.

Katanya, Syed Saddiq juga bebas bergerak dengan mana-mana pertubuhan berdaftar pilihannya namun tidak berhak menggunakan nama Armada atau Bersatu untuk apa-apa tujuan sekalipun, terutamanya dalam percubaan berterusan campur tangan soal dalaman parti serta melontarkan tohmahan.

"Saya berharap agar Syed Saddiq dan barisan kepimpinan Armada Pusat tidak lagi mengelirukan akar umbi dengan mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan segala dasar dan keputusan parti.

"Bersatu sebuah parti politik sentiasa memastikan keharmonian organisasi dan memelihara nama baiknya di mata awam dan ahli yang setia, sekali-kali tidak akan membenarkan mana-mana pihak menggugat keluarga besar ini.

"Saya mengucapkan selamat maju jaya dan berdoa kepada Allah SWT agar Syed Saddiq meneruskan khidmat beliau dengan cemerlang walau apa jua jalan yang dipilih demi kepentingan agama, bangsa dan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 11:23 AM