X
DUA lelaki ditahan berhubung aksi ‘drift’ berbahaya di dalam stesen minyak (gambar kecil) yang tular di media sosial. FOTO ihsan pembaca
DUA lelaki ditahan berhubung aksi ‘drift’ berbahaya di dalam stesen minyak (gambar kecil) yang tular di media sosial. FOTO ihsan pembaca
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


DUA lelaki ditahan polis selepas aksi aksi berbahaya 'drift' di dalam kawasan stesen minyak di Jejawi, Kubang Gajah, Arau tular di media sosial sejak semalam.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perlis, Asisten Superintendan Mohd Rizal Emran berkata, dua lelaki termasuk pemilik stesen minyak berkenaan berusia 34 dan 37 tahun itu ditahan selepas mereka menyerah diri ke Balai Polis Arau, 8.45 malam tadi.

Katanya, turut dirampas Subaru BRZ yang disimpan di perkarangan rumah pemandu terbabit di Bintong dipercayai digunakan bagi melakukan aksi berkenaan.

"Pemilik stesen minyak berkenaan mengaku dia yang menganjurkan aksi drift berkenaan di dalam kawasan stesen minyaknya manakala rakannya yang juga pemilik kedai aksesori kereta bertindak memandu kenderaan terbabit.

"Mereka ditahan kerana melakukan aksi berbahaya yang boleh menyebabkan kemalangan, kebakaran dan kerosakan kepada pelanggan stesen minyak beberapa hari lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Rizal berkata, bagaimanapun kedua mereka dibebaskan dengan jaminan polis hari ini dan dijangka akan dituduh dalam masa yang terdekat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) dan 81(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Semalam tular video aksi berbahaya drift di Facebook selama 16 saat yang dipandu lelaki di dalam kawasan stesen minyak sebanyak dua kali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 12:33 PM