Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latif (kanan) menyerahkan tongkat sebagai simbolik penyerahan tugas kepada Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Nik Robidin Ab Rahman sambil disaksikan Pengarah Penjara Terengganu, Timbalan Komisioner Penjara Ahmad Saidi Hamzah pada Majlis Penyerahan dan Penerimaan Tugas Pengarah Penjara Marang. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latif (kanan) menyerahkan tongkat sebagai simbolik penyerahan tugas kepada Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Nik Robidin Ab Rahman sambil disaksikan Pengarah Penjara Terengganu, Timbalan Komisioner Penjara Ahmad Saidi Hamzah pada Majlis Penyerahan dan Penerimaan Tugas Pengarah Penjara Marang. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


"AHLI keluarga jangan bimbang, semua penghuni lebih selamat di penjara dan tidak mengalami sebarang masalah oleh itu perlu bersabar," kata Pengarah Penjara Terengganu, Timbalan Komisioner Penjara Ahmad Saidi Hamzah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan dan Penerimaan Tugas Pengarah Penjara Marang antara Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latif dengan Penolong Kanan Komisioner Nik Robidin Ab Rahman di Penjara Marang, Terengganu, hari ini.

Ahmad Saidi berkata, ahli keluarga kepada penghuni di Penjara Marang perlu terus bersabar kerana sesi perjumpaan secara berhadapan antara ahli keluarga bersama penghuni masih tidak dibenarkan.

"Walaupun banyak kelonggaran lain diberikan kerajaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa namun sesi perjumpaan secara berhadapan di penjara masih tidak dibenarkan.

"Pelawat atau ahli keluarga yang ingin berhubung dengan penghuni di penjara hanya boleh berbuat demikian melalui aplikasi Skype buat masa sekarang.

"Langkah pencegahan Covid-19 masih dititik beratkan di penjara sehingga sekarang termasuk pemakaian pelitup muka, penggunaan cecair sanitasi tangan, pemeriksaan suhu badan dan penjarakan sosial di kalangan kakitangan penjara dan penghuni," katanya.

Menurutnya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB berkuat kuasa Penjara Marang juga mengambil langkah proaktif menawarkan perkhidmatan penghantaran percuma untuk penghuni dibebaskan ke rumah masing-masing.

"Kami tidak mahu penghuni yang tamat menjalani hukuman dan dibebaskan merayau kemudian terdedah kepada wabak Covid-19 itu atau ditangkap semula kerana ingkar arahan PKP sebelum ini.

"Oleh itu Penjara Marang menyediakan perkhidmatan penghantaran dan sehingga kini sudah menghantar ramai penghuni yang bebas ke rumah mereka di semua daerah di negeri ini, Kuantan dan Kelantan," katanya.

Menurutnya, dia berharap ahli keluarga akur dengan arahan dan tidak datang ke penjara untuk bertemu penghuni.

"Kami faham ahli keluarga merindui penghuni selepas lebih dua bulan tidak bertemu kerana PKP, ditambah pula dengan suasana hari raya sekarang namun demi kebaikan bersama, kita perlu akur kepada arahan yang dikeluarkan.

"Kami bukan ingin menghalang perjumpaan di antara ahli keluarga dengan penghuni penjara tetapi sekatan yang dikeluarkan secara menyeluruh kepada semua penjara itu untuk kebaikan bersama," katanya.

Nik Robidin akan menggantikan Wan Sani sebagai Pengarah Penjara Marang berkuat kuasa hari ini manakala Wan Sani akan memulakan tugas sebagai Pengarah Penjara Pengkalan Chepa di Kota Bharu bermula esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 4:06 PM