CERMIN depan kereta Fahmi pecah dibaling dengan bata angkara perbuatan khianat di hadapan rumahnya dekat Kampung Taman Baru, Seberang Jaya, Bukit Mertajam, hari ini. FOTO ihsan Fahmi Zainol
CERMIN depan kereta Fahmi pecah dibaling dengan bata angkara perbuatan khianat di hadapan rumahnya dekat Kampung Taman Baru, Seberang Jaya, Bukit Mertajam, hari ini. FOTO ihsan Fahmi Zainol
Nur Izzati Mohamad


KETUA Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Fahmi Zainol terkejut apabila mendapati cermin hadapan keretanya yang diparkir di hadapan rumahnya di Kampung Taman Baru, Seberang Jaya, Bukit Mertajam, pecah, 9 pagi hari ini.

Fahmi yang juga Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mahu pergi ke tempat kerjanya sebelum menyedari cermin kereta Toyota Vios miliknya pecah akibat dibaling dengan bata.

Fahmi berkata, dia sudah melaporkan kejadian itu kepada polis untuk siasatan lanjut tanpa mahu menuduh mana-mana pihak.

"Sepanjang saya terbabit dalam politik, kejadian ini kali pertama berlaku dan tidak tahu siapa melakukannya serta apa motifnya.

"Saya tidak mahu menuduh sesiapa dan kini biar polis jalankan siasatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata mangsa yang berusia 28 tahun mengalami kerugian RM500 dalam insiden itu.

Beliau berkata, mangsa memaklumkan dia tidak pernah berhutang dan bermusuh dengan sesiapa.

"Bagaimanapun disebabkan dia aktif dalam parti politik menimbulkan rasa bimbang terhadapnya sekiranya ada pihak tidak berpuas hati lalu melaporkan kepada polis.

"Tiada barangan milik mangsa hilang dalam kejadian itu. "Terdapat kamera litar tertutup (CCtV) di rumah jiran, tetapi dimaklumkan ia sudah lama rosak serta tidak dibaiki," katanya memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 9:27 PM