ISMAIL menunjukkan bangunan asrama dan kelas mengajar bagi penghuni Asrama Anak-Anak Saudara Kita, Yatim, Fakir & Miskin Perkim Terengganu, Kampung Merchang.
ISMAIL menunjukkan bangunan asrama dan kelas mengajar bagi penghuni Asrama Anak-Anak Saudara Kita, Yatim, Fakir & Miskin Perkim Terengganu, Kampung Merchang.

"ALHAMDULILLAH, saya tak sangka rupanya ada juga rezeki kami. Ini rezeki buat anak-anak kami, syukur sangat," kata Ismail Jambol Pengerusi Pertubuhan Asrama Anak-Anak Saudara Kita, Yatim, Fakir & Miskin Perkim Terengganu, Kampung Merchang, Marang, Terengganu.

Ismail berkata, beliau sangat terharu dan berterima kasih apabila rumah anak yatim yang diusahakan itu terpilih menerima sumbangan Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Ramadan 2020.

Menurutnya, beliau sangat terkejut apabila dihubungi kakitangan Harian Metro memaklumkan rumah kebajikannya itu terpilih dan layak menerima sumbangan RM5,000.

"Sebelum ini, saya ada terbaca berhubung program TKHM yang akan memilih 13 rumah kebajikan dan anak yatim untuk disalurkan sumbangan.

"Tidak sangka empat hari selepas itu saya menerima panggilan daripada kakitangan Harian Metro yang memaklumkan rumah kami terpilih dan saya sungguh terharu," katanya.

Ismail yang juga kakitangan Pejabat Agama Daerah Dungun berkata, beliau pada mulanya membina sebuah pondok kecil di situ untuk dijadikan kelas fardu ain serta mengaji al-Quran kepada anak kampung terbabit bermula pada 1998.

"Kelas terbabit hanya tiga kali seminggu iaitu Khamis, Jumaat dan Sabtu dan tidak sangka ia mendapat sambutan menggalakkan termasuk daripada saudara baru dan penduduk kampung untuk datang mendalami ilmu agama.

"Tanah ini seluas dua ekar adalah yang diwakafkan oleh bekas ahli Parlimen Dungun Datuk Awang Jabar kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Negeri Terengganu (Maidam) sebelum saya memohon untuk dijadikan milik pertubuhan kami," katanya.

Katanya, selepas menyedari ramai dalam kalangan anak yatim di kawasan sekitar kampung itu, beliau mula bercadang untuk membina rumah anak yatim di situ.

"Atas sokongan rakan dan penduduk kami semua mencari sumbangan ketika itu hanya Allah yang tahu betapa sukarnya kami mengumpul dana untuk membina bangunan asrama untuk anak-anak yatim.

"Alhamdulillah usaha kami selama beberapa tahun itu berhasil dan kami mula menerima kemasukan anak yatim bermula pada tahun 2014 dan saya berterima kasih kepada Perkim yang memberi sokongan untuk menubuhkan rumah anak yatim bukan sahaja di Terengganu, malah seluruh negara," katanya.

Katanya, pada masa ini, seramai 68 anak yatim berusia tujuh hingga 19 tahun yang dari beberapa daerah di Terengganu berada di situ.

"Daripada tahun 2014 hingga sekarang kami berjaya mendidik lebih daripada 120 anak-anak yatim yang kebanyakan sudah bekerja dan ada yang masih belajar di universiti.

"Saya sangat bangga dan sentiasa berterima kasih kepada Tuhan kerana anak-anak kami ini bekerjaya dan menjadi insan yang berguna kepada bangsa dan agama," katanya.

PENGHUNI Asrama Anak-Anak Saudara Kita, Yatim, Fakir & Miskin Perkim Terengganu tekun belajar.
PENGHUNI Asrama Anak-Anak Saudara Kita, Yatim, Fakir & Miskin Perkim Terengganu tekun belajar.

Ismail berkata, sehingga kini beliau mempunyai seramai tujuh pekerja termasuk guru agama, tukang masak dan warden asrama.

"Setiap bulan saya memerlukan peruntukan RM12,000 bagi perbelanjaan pengurusan, gaji kakitangan termasuk makan minum anak-anak kami.

"Makan, minum, asrama anak-anak semuanya percuma, sumbangan kami seratus peratus daripada orang ramai dan adakalanya Allah menguji kami sehingga kami terpaksa mencatu makanan namun saya reda dan tetap berdoa orang ramai tidak putus menyumbang," katanya.

Menurutnya, beliau mengakui bangunan sedia ada juga sangat usang dan tidak sesuai dan tidak cukup untuk dijadikan kelas belajar.

"Kita hadapi kekangan sumber kewangan dan kita akui tidak dapat membina bangunan baru, kita tiada bilik guru, tiada dewan dan kebanyakan kelas kami terpaksa belajar di bawah garaj kereta namun saya tetap bersyukur anak-anak kami tidak merungut," katanya.

Beliau berkata, sebuah surau yang dibina masih belum siap sepenuhnya namun sudah digunakan untuk aktiviti solat berjemaah di situ.

"Kami juga ada memerlukan kenderaan dan setakat ini hanya sebuah van yang ada untuk berulang alik mengambil dan menghantar anak-anak kami ke sekolah.

"Apapun saya anggap semua itu adalah ujian Tuhan dan saya perlu terus ke depan demi memelihara anak-anak syurga ini," katanya.

Ismail berkata, beliau berterima kasih dan mengucapkan syabas kepada Harian Metro yang berterusan menganjurkan TKHM sejak 2007 dan beliau bangga apabila projek pelancaran pertama TKHM dibuat di negeri Terengganu.

"Saya lihat program kerjasama bersama Plus Malaysia Berhad (PLUS) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) ini wajar diteruskan pada masa hadapan, semoga kalian dilimpahi rahmat oleh yang maha esa.

"Tidak lupa juga kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat JKM termasuk kerja kuat daripada Briged Sukarelawan NSTP Media Prima," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 9:08 AM