X
Samadi Ahmad


KIRA-KIRA 9,000 penduduk tempatan dan warga asing di Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama Bukit Changgang, Kuala Langat diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Kawalan Pentadbiran (Semco).

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, tindakan diambil selepas 20 penduduk di situ yang juga kakitangan pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disahkan positif Covid-19 pada 28 Mei lalu.

Katanya, polis bersama petugas kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah juga berjaya mengesan 114 kontak rapat pesakit pada 29 Mei lalu.

"Mereka kini dikuarantin di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) membabitkan 52 orang dan 62 orang lagi di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), Bangi.

"Ketika ini, dua perumahan itu di bawah (SEMCO) yang mana penduduk tidak dibenarkan keluar masuk melebihi kawasan berpagar, selain tiada kemasukan orang luar kecuali dengan kebenaran polis," katanya ketika dihubungi hari ini.

Azizan berkata, pihaknya mencadangkan kepada kerajaan supaya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan wabak itu dan mengawal pergerakan penduduk.

Katanya, populasi penduduk di situ membabitkan 80 peratus rakyat tempatan dan 20 peratus warga asing.

Difahamkan, seramai 7,000 penduduk masih menunggu giliran bagi membuat ujian saringan Covid-19 dan perkembangan terkini kawasan kluster baharu itu dijangka diumumkan Menteri Kanan Kluster Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 12:02 PM