X
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


PEKERJA sektor pelancongan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, hari ini atas dua pertuduhan iaitu menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki dengan membiarkan anjing peliharaannya menyerang lelaki itu, Sabtu lalu.

Tertuduh, F Miranda Terrance, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Rohaida Ishak.

Menurut pertuduhan pertama, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Auzi Mohamed Abdul Rashid, 45, di tepi Jalan Bunga Raya, Taman Bunga Raya, Kuala Kangsar, kira-kira 5.30 pagi, 30 Mei lalu.

Tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun dan denda.

MIRANDA Terrance didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri.
MIRANDA Terrance didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan cuai tidak mengambil langkah yang memadai ke atas anjing peliharaannya bagi menghindari sebarang bahaya kecederaan parah terhadap Auzi pada waktu, tarikh dan lokasi yang sama.

Justeru, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 289 KK, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nor Izawani Ahmad Jalaludin yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan hukuman atas faktor tertuduh yang masih menyara dua anak bersekolah selain pendapatannya yang terjejas teruk susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Hakim kemudiannya menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.

Tarikh sebutan semula kes pada 17 Jun ini, dan tertuduh juga diarahkan untuk tidak mendekati mangsa sehingga kes selesai memandangkan dia dan mangsa menetap di taman perumahan yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 12:09 PM