GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


JOBSTREET.COM mendedahkan lebih daripada 2 juta rakyat Malaysia dijangka menganggur berikutan impak penularan pandemik Covid-19.

Pengurus Negaranya, Gan Bock Herm berkata, berdasarkan kajian JobStreet.com pada Mei lalu, satu daripada lima rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan disebabkan penularan wabak itu manakala 35 peratus mengalami pengurangan gaji.

Meskipun begitu, katanya, majikan di negara ini masih mengambil pekerja baharu dan ia adalah dorongan kepada syarikat yang masih mencari bakat berkemahiran.

"Tenaga kerja yang memiliki kemahiran digital mendapat permintaan tinggi dalam kalangan majikan seiring dengan usaha mereka ke arah transformasi digital.

"Kajian melaporkan lima bidang utama berkaitan dengan kemahiran digital dikehendaki majikan iaitu teknologi maklumat (IT), pembuatan, kewangan, e-dagang dan perkhidmatan kesihatan.

"Berdasarkan kajian itu, 3,269 tawaran kerja dalam bidang teknologi maklumat (IT), pembuatan (3,314), kewangan (1,991), e-dagang (1,820) dan perkhidmatan kesihatan (1,307)," katanya dalam sidang media secara dalam talian hari ini.

Beliau berkata, majikan yang melakukan pencarian tenaga kerja berkemahiran dalam perisian seperti pembangun perisian, jurutera perisian, arkitek dan aplikasi perisian meningkat 250 peratus.

Selain itu, katanya, masing-masing 40 peratus majikan mencari bakat berkemahiran dalam bidang IT dan pembuatan.

"Majikan melaporkan mereka melaksanakan inisiatif transformasi digital, dengan antaranya memulakan pelbagai usaha ke arah normal baharu kehidupan," katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Pemasaran JobStreet.com, Ramesh Rajandran berkata, melalui pergerakan terhad Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan penularan Covid-19, JobStreet.com menawarkan pengambilan pekerja maya.

Beliau berkata, ia adalah kaedah terkini dan terbaik untuk memastikan proses pengambilan pekerja tetap berjalan sambil melindungi syarikat pencari kerja dan calon.

"Sebagai rakan kongsi mantap kepada majikan dan pencari kerja, JobStreet.com melancarkan kempen #TogetherAhead, yang dilaksanakan khas untuk menawarkan pekerjaan kepada mereka di waktu genting ini.

"Melalui inisiatif ini, JobStreet berusaha menghubungkan majikan dan calon yang mencari serta menawarkan peluang pekerjaan di JobStreet," katanya.

Beliau berkata, pihaknya berusaha memastikan platform JobStreet mempunyai semua peluang dan sumber untuk membantu mereka meneruskan kehidupan terbaik dalam pekerjaan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 1:27 PM