Juwan Riduan

LELAKI warga Filipina gagal menyeludup masuk syabu 5.184 kilogram dianggarkan bernilai RM200,000 di terminal bas Semporna, Sabah Ahad lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, berdasarkan risikan dan intipan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna menahan lelaki berusia 25 tahun itu pada 7.30 malam.

Katanya, pemeriksaan ke atas sebuah kotak yang dibawa suspek baru tiba dari Kota Kinabalu itu menemukan 19 kotak kecil berisi alat pendengaran telinga.

"Pemeriksaan juga menemukan lima bungkusan plastik hitam mengandungi paket plastik teh hijau berisi dadah jenis syabu seberat 5.18 kilogram," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Sabah, Superintendan Ahmad Jawila.

DATUK Zaini Jass (dua dari kanan) menunjukkan peket dadah jenis syabu yang dirampas dalam sidang media di IPK Sabah, Kota Kinabalu. FOTO JUWAN RIDUAN
DATUK Zaini Jass (dua dari kanan) menunjukkan peket dadah jenis syabu yang dirampas dalam sidang media di IPK Sabah, Kota Kinabalu. FOTO JUWAN RIDUAN

Zaini berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan saringan air kencing adalah negatif dadah.

"Hasil risikan yang dijalankan mendapati dadah berkenaan cuba diseludup masuk dari Kota Kinabalu menggunakan pengangkutan awam (darat) ke daerah Semporna untuk pasaran tempatan.

"Mengikut perkiraan kasar rampasan keseluruhan dadah berkenaan dapat membekalkan dalam tempoh sebulan kepada 1,000 penagih," katanya.

Suspek direman tujuh hari bermula Isnin lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 2:08 PM