Seramai tiga individu ditahan kerana memandu dibawah pengaruh alkohol dalam Op Alkohol dijalankan di sekitar Petaling Jaya, awal pagi tadi.
Seramai tiga individu ditahan kerana memandu dibawah pengaruh alkohol dalam Op Alkohol dijalankan di sekitar Petaling Jaya, awal pagi tadi.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SERAMAI tiga individu ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi Op Alkohol dijalankan di sekitar daerah Petaling Jaya, Selangor, awal pagi tadi.

Dalam operasi bermula jam 12 tengah malam dan berakhir jam 3 pagi tadi, seramai 78 individu diperiksa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pemandu kenderaan berusia 28 hingga 42 tahun ditahan kerana gagal melepas ujian kadar alkohol yang dilakukan.

"Polis turut mengeluarkan sembilan saman atas pelbagai kesalahan trafik dalam operasi yang dijalankan itu.

"Operasi ini dilakukan bertujuan untuk mencegah dan membanteras pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang di bawah pengaruh alkohol," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, sejak Op Alkohol dijalankan bermula pada 27 Mei lalu dan seramai 23 individu sudah ditahan kerana melakukan kesalahan berkenaan.

"Berdasarkan statistik dalam tempoh satu minggu operasi dijalankan didapati berlaku penurunan berhubung kesalahan berkenaan.

"Kami percaya ia disebabkan liputan meluas media mengenai isu keselamatan pengguna jalan raya. Polis mengucapkan terima kasih kepada pihak media yang membantu memberi kesedaran kepada masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 3:22 PM