FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


TEKONG warga Vietnam didenda RM300,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini kerana menceroboh perairan negara untuk mencuri hasil laut.

Selain itu, tertuduh, Pham Ven Minh, 30, turut berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Nooriah Othman membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 (Akta 317).

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan kapal, peralatan komunikasi, navigasi berserta peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan laut dilucut hak kepada kerajaan Malaysia melalui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa gagal memberitahu seorang pegawai berkuasa melalui radio, teleks atau faksimili dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu mengenai nama, negara, lokasi jalan dan destinasi kapal berkenaan, jenis dan jumlah ikan yang dibawa selain keadaan vesel itu yang memasuki perairan Malaysia.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jarak 109.5 batu nautika dari Kuala Terengganu, pada 11.12 pagi, 18 Mac lalu.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, tertuduh bersama lima awak-awaknya berusia antara 22 hingga 60 tahun dipenjara tujuh bulan kerana menghalang tugas penjawat awam apabila cuba melarikan diri mengelak daripada ditahan.

Majistret Nordiana Abd Aziz membuat keputusan itu selepas kesemua tertuduh mengaku salah dengan sengaja menghalang seorang Pegawai Maritim menjalankan tugas pemeriksaan kerana enggan memberhentikan vesel untuk diperiksa walaupun diberi notis atau amaran melalui pembesar suara.

Mereka didakwa melarikan diri dengan membelok ke kiri dan kanan bagi mengelak ditahan yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum mengikut akta sama.

Bagi kesalahan itu, mereka berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kedua-dua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ibu Pejabat Wilayah Maritim Timur APMM Mohamad Afiq Taqiudin Roslan manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 4:49 PM