X
Suasana yang terdapat di The Habitat Bukit Bendera, Air Itam, Pulau Pinang.
Suasana yang terdapat di The Habitat Bukit Bendera, Air Itam, Pulau Pinang.
Zuhainy Zulkiffli


PERBADANAN Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) akan membuka semula perkhidmatan funikular kepada pendaki bermula 6 Jun ini.

Keputusan itu selaras dengan pengumuman kerajaan negeri semalam, mengenai kebenaran mendaki di bukit peranginan berkenaan.

Perbadanan terbabit menerusi kenyataannya berkata, perkhidmatan funikular akan beroperasi setiap satu jam bermula 7 pagi setiap hari.

Manakala, perkhidmatan terakhir dari stesen atas adalah pada jam 7 malam.

"Pendaki yang menggunakan Laluan Warisan (Heritage Trail) disarankan mendaftar menerusi PGCARE di stesen bawah Bukit Bendera untuk tujuan pengesanan kontak.

"Mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa

dan PBBPP," katanya kepada NSTP, hari ini.

Terdahulu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerusi Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengumumkan bahawa aktiviti mendaki di

Bukit Bendera yang dibenarkan adalah menerusi laluan jalan jeep dan Laluan Warisan.

Turut dibenarkan beroperasi ialah taman rekreasi di Pulau Pinang iaitu Taman Bandaraya, Taman Metropolitan Relau, Taman Botani Pulau Pinang, dan kawasan mendaki Bukit Jambul dengan waktu antara 7 pagi hingga 7 malam.

Sementara itu, berikutan perkhidmatan funikular tidak beroperasi pada kapasiti maksimum menerusi norma baharu, tiada perkhidmatan di sub-station disediakan kepada pendaki.

PBBPP hanya menyediakan perkhidmatan turun dan naik di stesen tengah (Middle Station) bagi pendaki.

"Perkhidmatan funikular yang dijadualkan adalah kepada penduduk, pekerja dan pendaki

saja, namun masih belum dibuka kepada pengunjung lain sehingga pengumuman selanjutnya oleh pihak berkuasa berkenaan.

"Restoran David Brown's & Tea Terrace akan beroperasi setiap hari bermula 8 Jun 2020, manakala astaka akan ditutup sehingga diberitahu kelak," katanya lagi.

Untuk maklumat lanjut dan kemaskini SOP norma baharu, boleh layari laman

Facebook rasmi PBBPP termasuk mengenai tarikh pembukaan semula astaka.

PBBPP boleh dihubungi di talian 04-828 8880 atau emel ke [email protected] bagi maklumat terkini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 6:54 PM