Hazira Ahmad Zaidi


SEORANG warga emas yang juga ibu tunggal dari Kampung Paya Rambai, di Kota Bharu, , hanya terlantar selain tidak mampu menguruskan diri selepas menderita penyakit kanser hidung sejak Februari lalu.

Malah, akibat penyakit yang dideritai itu menyebabkan Eshah Yaacob, 72, lumpuh bahagian kanan badan dan hanya mampu terbaring lesu di atas katil selain merengek seperti anak kecil apabila memerlukan sesuatu atau berasa sakit.

Menceritakan keadaan ibunya, Darwani Mohamad, 43, berkata, pada awalnya, hanya terdapat ketulan kecil sebesar biji kacang di rongga hidung kanan ibunya dan menganggap ia adalah ketulan biasa kerana sebelum ini ibunya menghidap penyakit resdung.

"Bagaimanapun, hari ke hari, saya melihat ketulan itu semakin membesar sehingga menutup sepenuhnya rongga hidung kanan dan pada masa sama menyebabkan lelangit ibu sedikit berlubang disebabkan ketumbuhan itu selain pertuturannya juga kurang jelas.

"Disebabkan keadaan lelangitnya yang berlubang, ibu tidak boleh menyedut masuk minuman ke dalam mulutnya dan kami terpaksa memberinya minum menggunakan picagari selain perlu menyuapkan makanan lembut seperti roti," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paya Rambai, di Kota Bharu, baru-baru ini.

Darwani berkata, selepas mendapati ketumbuhan di rongga hidung kanan ibunya semakin membesar, dia membawa ibunya itu mendapatkan rawatan di klinik dan doktor menyarankan untuk dirujuk ke hospital.

ESHAH Yaacob. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
ESHAH Yaacob. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

"Namun disebabkan perasaan takut yang agak melampau menyebabkan ibu tidak mahu kami membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut bagi mengubati penyakitnya itu dan hanya bergantung kepada ubatan kampung.

"Saya dan adik-beradik yang lain sudah beberapa kali memujuknya supaya mendapatkan rawatan di hospital kerana bimbang keadaannya menjadi semakin parah, namun ibu tetap dengan pendiriannya kerana perasaan takut apabila diberitahu oleh doktor mengenai prosedur untuk rawatan bagi pesakit kanser.

"Tiga puluh tahun lalu, arwah ayah, Mohammaf Jaafar meninggalkan kami disebabkan penyakit kanser hati dan kini ibu pula menderita penyakit kanser hidung. Saya dan adik-beradik yang lain serta cucu-cucunya sentiasa memberikan kata-kata semangat supaya dia kuat untuk melawan penyakitnya itu" katanya.

Katanya, setiap bulan dia perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya RM500 sebulan untuk membeli keperluan ibunya termasuk lampin pakai buang, susu khas yang berharga RM160 setin selain kos ubatan.

"Saya dan adik-beradik yang lain bukan dalam kalangan orang yang sedang, namun mujurlah ibu mendapat bantuan bulanan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sebanyak RM400 sebulan yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban boleh menghubungi Darwani Mohamad di talian 011-25468242.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 10:23 AM