BERNAMA

ANGGOTA Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dipenjara seminggu dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini kerana mengaibkan kehormatan rakan sekerjanya dengan menyebarkan gambar lucah wanita itu, bulan lalu.

Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu ke atas Syahrul Anuar Razuan, 32, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara seminggu dari tarikh tangkap pada 1 Jun lalu.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara sebulan, sekiranya dia gagal membayar denda.

Lelaki itu didakwa menyebar gambar lucah seorang wanita berusia 24 tahun di sebuah rumah di Jalan Ang Seng, Brickfields pada 3.45 petang, 31 Mei lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman penjara kerana perbuatan tertuduh memberi kesan buruk kepada mangsa.

"Mahkamah perlu mempertimbangkan hukuman penjara untuk memberi pengajaran kepada tertuduh supaya kejadian seperti ini tidak berulang pada masa akan datang," katanya.

Peguam Ahmad Nabil Abd Rani daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda kerana anak guamnya yang masih bujang itu memohon maaf atas kesalahan terbabit, selain dia juga menjaga bapanya yang uzur serta menanggung keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 2:58 PM