FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Nurul Amanina Suhaini


EMPAT penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki di taman permainan kanak-kanak dekat Taman Sri Pulai, Ogos tahun lalu.

Tertuduh, S Prasan, 23; P Saarvin, 23; S Pravinraj, 30, dan A Vinotkumar, 33, masing-masing mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Zaki Abd Rahman.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat tertuduh didakwa menyebabkan kematian ke atas J Sritharan, 20, di Jalan Meranti 13, Taman Sri Pulai, Johor Bahru, pada 12.50 malam, 10 Ogos 2019.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang mana sabit kesalahan boleh dihukum gantung mati.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Chan Choon Yew, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah Majistret menetapkan 17 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan bedah siasat.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut selepas diserang dan ditetak dengan senjata tajam, dalam serangan ketika berada di padang permainan kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 2:58 PM