SHOBA Selvarajoo. FOTO arkib NSTP
SHOBA Selvarajoo. FOTO arkib NSTP
Norzamira Che Noh


EXCO Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Shoba Selvarajoo mengumumkan peletakan jawatan politiknya dan keluar parti berkenaan semalam.

Beliau menerusi kenyataan di Facebook (FB) memaklumkan peletakan jawatan itu kerana sudah hilang kepercayaan kepada presiden dan pimpinan parti.

"Saya sudah hilang kepercayaan kepada presiden dan pimpinan parti selepas daripada pemilihan parti yang cacamarba serta memalukan.

"Sudah sampai masanya keputusan perlu dibuat," katanya.

Shoba berkata, melihat kepada perkembangan politik membabitkan PKR juga memeningkan ahli dan pimpinan.

Katanya, beliau turut terkesan dengan penyebaran senarai nama ahli PKR yang digantung malah menurutnya selepas diteliti namanya turut tersenarai.

Beliau juga meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

"Saya dengan ini mengisytiharkan bahawa saya meletakkan semua jawatan dalam parti termasuk jawatan Ahli Majlis MPPZON5 (MBSA) dan seterusnya keluar daripada parti berkuat kuasa serta-merta.

"Kerjaya politik dan perkhidmatan awam saya akan terus menjadi lebih baik dari masa ini," katanya.

Pada Mei lalu, ratusan ahli PKR digantung atau dipecat atas alasan melanggar tata etika dan disiplin parti selepas pemecatan bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 5:04 PM