KOMPLEKS Pasar Meru diarahkan tutup serta oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berikutan kegagalan pematuhan SOP PKPB. FOTO Ruwaida Md Zain
KOMPLEKS Pasar Meru diarahkan tutup serta oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berikutan kegagalan pematuhan SOP PKPB. FOTO Ruwaida Md Zain
Ruwaida Md Zain

TIADA pemeriksaan suhu badan dan pendaftaran peniaga, tiada penjarakan sosial dan kemasukan pelanggan tidak dihadkan antara kegagalan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang menyebabkan Kompleks Pasar Meru di Klang ditutup serta merta.

Kompleks itu diarahkan tutup dalam Operasi Bersepadu Agensi Penguatkuasa Pematuhan SOP Pembukaan Semula Ekonomi oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Pegawai Kesihatan Persekitaran JKNS selaku Ketua Operasi, CT Zawiah Ab Ghani berkata, selepas pemeriksaan dijalankan, pihaknya mendapati keseluruhan pasar terbabit yang mempunyai tiga blok itu melanggar lima syarat pematuhan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Kita mendapati pasar ini tiada penjarakan sosial dan tidak menghadkan kemasukan pelanggan untuk membeli sehingga menyebabkan berlaku kesesakan.

"Kerja disinfeksi yang sepatutnya dilakukan setiap hari selepas pasar beroperasi hanya dilakukan dua kali seminggu manakala penyediaan 'hand sanitizer' hanya di pintu masuk pasar sahaja dan tiada dalam kawasan pasar untuk kegunaan pelanggan dan juga peniaga.

"Suhu badan dan nama pekerja juga tidak direkodkan sebab itu menjadi kewajipan, kita risau jika ada pekerja yang demam datang bekerja malah pemantauan hanya dibuat ke atas pengunjung yang masuk sahaja," katanya dalam sidang media ketika operasi di lokasi terbabit dan sekitar premis perniagaan di Meru, hari ini.

CT Zawiah berkata, pihak pengurusan pasar perlu memandang serius perkara terbabit dan memastikan pasar mematuhi SOP sebelum kembali beroperasi.

"Dalam tempoh penutupan itu, pihak pengurusan pasar perlu mengambil tindakan sewajarnya susulan lima kesalahan yang dilakukan sebelum kembali beroperasi.

"Pihak terbabit boleh membuat permintaan untuk membuka kembali premis mereka selepas tiga hari, selepas mereka memastikan semua SOP dipatuhi.

"JKNS akan datang untuk membuat pemeriksaan dan jika berpuashati dengan komitmen mereka untuk mematuhi SOP berkenaan, baru pasar kembali dibuka," katanya.

Selain kompleks pasar terbabit katanya, 19 lagi premis perniagaan berhampiran turut diarahkan tutup atas kesalahan sama.

Katanya, operasi terbabit dijalankan setiap hari di lokasi berbeza seluruh negeri Selangor.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 1:34 PM