SITI Nurhikmah Razlan. FOTO ihsan FB
SITI Nurhikmah Razlan. FOTO ihsan FB
Faliqah Alia Radin Mohd Fuad


"SAYA gembira mampu memberi inspirasi kepada orang untuk yakin pada diri sendiri." ujar Siti Nurhikmah Razlan, 22, yang tidak mempunyai bola mata pada mata kirinya sejak dilahirkan.

Namun Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat tular di media sosial apabila tampil penuh yakin dan disolek cantik.

Menurutnya, kekurangan fizikal dialami bukan ukuran membabitkan soal kecantikan.

"Sebaliknya orang ramai perlu menjalani kehidupan dengan penuh semangat dan yakin terhadap kebolehan diri sendiri," katanya yang menjadi perhatian di laman Instagram milik seorang juru solek artis.

Melalui laman Instagram itu, jurusolek dikenali sebagai Sakinah memberi 'sentuhan' istimewa pada wajah Siti Nurhikmah hingga menimbulkan kekaguman ramai.

Kelihatan manis dengan busana serba 'peach', perkongsian di laman media sosial itu menerima lebih 30,252 tanda suka dan dibanjiri dengan komen positif netizen termasuk artis tempatan.

Menurut Nurhikmah, dia tidak menyangka gambarnya itu menerima banyak komen positif dari orang ramai.

"Saya terkejut 'posting' gambar saya itu secara tidak langsung memberi inspirasi kepada orang ramai.

"Gambar itu adalah gambar solekan yang dilakukan Sakinah untuk kempen bersama produk solekan." katanya ketika dihubungi Harian Metro tadi.

Bercerita lanjut, Nurhikmah berkata, terdapat juga ibu bapa yang menghantar kiriman (direct message) kerana mengalami situasi sama sepertinya.

"Ada ibu yang bertanya apa yang mak ayah saya lakukan sehingga saya menjadi seorang anak yang kuat.

"Saya senang hati dapat membantu mereka kerana saya faham situasi yang mereka lalui itu," katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana masih mampu menggunakan mata kanannya itu.

"Dulu doktor ada usahakan untuk pakai mata palsu tapi tak sesuai berikutan tiada tulang dalam bebola mata untuk tampung mata palsu.

"Saya pernah menjalani pembedahan untuk sumbing dan di hidung kiri. Namun ibu bapa risau berlaku jangkitan jika saya meneruskan pembedahan," katanya.

Gadis yang dibesarkan di Kuantan, Pahang itu, mengakui, ibu bapa adalah pembakar semangat untuk terus kuat.

"Saya sering terima ejekan kurang enak sewaktu di bangku sekolah. Walaupun sedih, saya tetap berfikiran positif.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 4:59 PM