X
Baharom Bakar


MAJLIS Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mencadangkan pasar malam diperluaskan ke seluruh negeri jika peniaga dan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Fadli Yusoff Zakaria berkata, peniaga pasar malam diberi tempoh sehingga pertengahan bulan depan untuk mengekalkan pematuhan SOP.

"Hasil pemantauan petang ini, kita berpuas hati dengan pematuhan SOP peniaga termasuk melakukan ujian suhu badan setiap pengunjung dan melakukan penjarakan kanopi melebihi satu meter antara satu sama lain.

"Jika langkah pencegahan bagi mengelakkan penularan Covid-19 dikekalkan, kita yakin kerajaan negeri bersetuju memperluaskan pasar malam ke seluruh negeri," katanya ketika membuat pemantauan pematuhan SOP oleh peniaga pasar malam percubaan di tempat letak kenderaan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Kuala Nerus hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran MBKT, Che Wan Mohd Zulkifli Che Wan Jalil dan Pengarah MBKT cawangan Utara, Hama Hakim Mahyudi Awang.

Seramai 112 peniaga dari Kuala Terengganu dan Kuala Nerus menjalankan perniagaan pada pasar malam percubaan hari ini.

Ketika mengulas permintaan peniaga agar MBKT memanjangkan tempoh perniagaan sehingga 10 malam berbanding 7 malam, Fadli Yusoff berkata, kebenaran itu bergantung kepada peniaga.

"Jika semua peniaga mengekalkan pematuhan SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam tempoh penilaian, kerajaan negeri mungkin akan memberi pertimbangan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 8:34 PM
    ORANG ramai tidak melepaskan peluang membeli belah di pasar malam di tempat letak kenderaan SSMZA Gong Badak. FOTO Ghazali Kori
    ORANG ramai tidak melepaskan peluang membeli belah di pasar malam di tempat letak kenderaan SSMZA Gong Badak. FOTO Ghazali Kori