DATUK Sulaiman Md Ali berbual dengan peniaga di Pasar Awam Masjid Tanah. FOTO HASSAN OMAR
DATUK Sulaiman Md Ali berbual dengan peniaga di Pasar Awam Masjid Tanah. FOTO HASSAN OMAR


SKIM Pembiayaan Pelancongan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) tepat pada masanya dan mampu menyelamatkan industri pelancongan di Melaka, kata Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata, beberapa inisiatif berkaitan cukai pelancongan PENJANA yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, memberi nafas kepada usahawan industri pelancongan yang menerima kesan besar berikutan pandemik Covid-19 yang menyebabkan kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Sebelum ini, usahawan berkenaan sudah meminta kerajaan negeri memberikan pelbagai inisiatif berkaitan cukai pelancongan dan kami sudah menyampaikannya kepada Kerajaan Persekutuan.

"Ini kerana banyak industri pelancongan di negeri ini terjejas akibat Covid-19 dan sebagai negeri yang ekonominya bergantung kepada industri pelancongan, sudah tentulah kerajaan negeri menyambut baik pengumuman Skim Pembiayaan Pelancongan PENJANA," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pasar Awam Masjid Tanah, Alor Gajah hari ini.

Turut hadir, EXCO Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ismail Othman; Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Norena Jaafar dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Mohd Fadhil Hassan.

Sulaiman berkata, usahawan industri berkenaan bukan setakat mampu menarik nafas lega dengan pengumuman itu, malah menyusun semula strategi perniagaan dan operasi hotel serta pusat pelancongan masing-masing bagi memastikan mereka mampu memanfaatkan insiatif berkenaan.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan pembiayaan sebanyak RM1 bilion dalam Skim Pembiayaan Pelancongan PENJANA bagi membantu pemulihan dalam sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 12:21 PM