Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menasihatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk menghantar pulang warga asing yang disahkan negatif Covid-19 di empat Depoh Tahanan Imigresen (DTI) ke negara asal masing-masing.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 735 warga asing di DTI Bukit Jalil, Semenyih, Sepang dan Putrajaya yang disahkan positif Covid-19 sudah diasingkan dan diberi rawatan di hospital.

"Kita menjangkakan ada peningkatan mendadak lagi kes warga asing seperti sebelum ini mencatatkan lebih 200 kes baharu membabitkan mereka.

"Disebabkan itu kita menasihatkan JIM untuk menghantar pulang kes (pesakit) negatif ke negara masing-masing," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, seramai 1,545 warga asing yang disaring di DTI Bukit Jalil dan daripada jumlah itu 608 disahkan positif Covid-19, 935 negatif manakala dua lagi masih menunggu keputusan ujian kedua.

"Selain itu, di DTI Semenyih, seramai 1,785 individu disaring, 65 warga asing disahkan positif manakala 1,719 negatif.

"Bagi DTI Sepang pula, seramai 1,477 individu disaring, 60 positif dan selebihnya disahkan negatif manakala di DTI Putrajaya, 101 individu disaring dan hanya dua warga asing disahkan positif," katanya.

ANTARA PATI warga Indonesia yang dihantar pulang ke negara asal. FOTO arkib NSTP
ANTARA PATI warga Indonesia yang dihantar pulang ke negara asal. FOTO arkib NSTP

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 6:35 PM