POLIS melakukan pemeriksaan di salah satu sekatan jalan raya di Selangor. FOTO Ihsan Polis
POLIS melakukan pemeriksaan di salah satu sekatan jalan raya di Selangor. FOTO Ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS menahan enam individu selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam enam sekatan jalan raya Op Mabuk yang dilakukan di beberapa lokasi di Selangor, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari'at berkata, pihaknya melakukan enam sekatan jalan raya Op Mabuk bermula jam 9.30 malam hingga 12.30 tengah malam di enam lokasi di daerah ini, Subang Jaya, Klang dan Ampang.

"Dalam operasi berkenaan, kami menahan enam individu itu selepas ujian saringan dilakukan mendapati bacaan paras alkohol melebihi daripada jumlah ditetapkan.

"Semua lelaki yang ditahan berusia antara 30-an hingga 40-an berkenaan dibawa ke balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan mabuk," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengetuai Op Mabuk di Lebuhraya Penyuraian Trafik Lingkaran Kajang (SILK) dari arah Seri Kembangan menghala ke Pekan Batu 11 Balakong, di Kajang, malam tadi.

Azman berkata, pihaknya juga menahan seorang wanita berusia 36 tahun yang enggan memberi kerjasama kepada pihak polis untuk melakukan ujian saringan pernafasan dalam sekatan jalan raya di Jalan Medan Masria berhampiran Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras.

"Ketika anggota polis bertugas mahu melakukan pemeriksaan pernafasan terhadap wanita itu, dia bertindak agresif kerana tidak mahu diperiksa.

"Malah, dia turut bertindak menolak anggota polis berkenaan menyebabkan wanita terbabit ditahan dan dibawa ke balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya merekodkan sebanyak 57 tangkapan pemandu mabuk bagi tempoh Januari lalu hingga semalam menerusi lima operasi dilakukan di negeri berkenaan.

"Jumlah itu meningkat berbanding hanya 47 tangkapan dilakukan menerusi 68 operasi direkodkan sepanjang tahun lalu.

"Bagi 2018 pula, seramai 62 pemandu mabuk ditahan menerusi 75 operasi dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 9:58 AM