Nurul Hidayah Bahaudin


LEMBAGA Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) mengesan sindiket penyamaran sebagai pegawai agensi itu kembali aktif sejak kebelakangan ini.

LHDN dalam kenyataannya memaklumkan bahawa antara modus operandi sindiket itu adalah menghubungi mangsa melalui panggilan telefon memberitahu mereka mempunyai tunggakan cukai dan diminta menjelaskannya dengan membuat pindahan ke akaun bank bukan milik agensi itu.

"Ada mangsa menerima panggilan memaklumkan bahawa mangsa terbabit dengan aktiviti pelarian cukai dan pengubahan wang haram serta akaun bank milik mangsa akan disekat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

"Mangsa kemudiannya akan disambungkan untuk bercakap dengan 'pegawai polis' yang bertanggungjawab terhadap kes mangsa.

"Bagi mengelakkan semua wang dalam akaun miliknya dibekukan, mangsa diarahkan untuk memindahkan baki akaun ke akaun pihak ketiga," katanya.

Kenyataan itu memaklumkan segelintir mangsa dihubungi sindiket yang menyamar sebagai pegawai polis memaklumkan bahawa mangsa mempunyai baki cukai tertunggak.

"Mangsa kemudian dan diarahkan untuk memuat turun aplikasi palsu dari Bank Negara

Malaysia (BNM) atau berkongsi maklumat peribadi perbankan di laman web palsu kononnya milik BNM bagi tujuan siasatan.

"Selain itu, ada juga mangsa menerima panggilan daripada 'pegawai' LHDN menggunakan nombor telefon mirip nombor telefon LHDN dengan menggunakan teknik 'spoofing'," katanya.

Katanya, mangsa dimaklumkan bahawa mereka mempunyai baki cukai tertunggak daripada syarikat yang didaftarkan atas nama mangsa.

"Mangsa kemudian diarahkan untuk menjelaskan tunggakan cukai itu dengan membuat bayaran kepada akaun pihak ketiga selain daripada akaun LHDN," katanya.

LHDN menasihatkan orang supaya berhati-hati dengan setiap panggilan, mesej, e-mail serta surat diterima daripada LHDN yang meragukan dengan membuat semakan melalui panggilan ke Hasil Care Line, Customer Care Officer, borang maklum balas LHDN atau hadir ke cawangan berhampiran.

"Jangan sesekali mendedahkan butiran diri dan perbankan atau klik pada pautan diterima melalui e-mail yang meragukan selain tidak memuat turun sebarang aplikasi diminta oleh pemanggil tidak dikenali.

"Pastikan bayaran tunggakan cukai dibuat hanya kepada LHDN dan jangan membuat panggilan semula kepada nombor telefon yang tidak dikenali. Semak nombor telefon kami di portal rasmi LHDN," katanya.

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa setiap pegawai LHDN adalah terikat dengan

peruntukan kerahsiaan maklumat percukaian mengikut Seksyen 138 Akta Cukai Pendapatan 1967 iaitu setiap maklumat peribadi pembayar cukai tidak akan dihebahkan kepada pihak ketiga sewenang-wenangnya.

"Untuk sebarang maklumat lanjut, sila layari portal rasmi LHDN di www.hasil.gov.my.

Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara ini juga boleh diajukan

kepada LHDN melalui Hasil Care Line di talian 03-89111000 603-89111100 (luar negara).

"Selain itu, orang ramai juga boleh mendapatkan maklum balas di HASiL Live Chat, borang maklum balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.

"Orang ramai juga boleh melayari akaun media sosial LHDN menerusi Facebook dan Twitter di pautan https://www.facebook.com/LHDNM serta https://twitter.com/LHDNMofficial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 12:14 PM