ANTARA kenderaan tersadai yang diangkut DBKL. FOTO IHSAN DBKL
ANTARA kenderaan tersadai yang diangkut DBKL. FOTO IHSAN DBKL
Rosyahaida Abdullah


SEBANYAK sembilan kenderaan tersadai di ibu negara diangkut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke depoh simpanan Taman Connaught, Cheras, semalam.

Menerusi satu kenyataan, DBKL memaklumkan, tindakan itu diambil di enam lokasi berbeza membabitkan kenderaan buruk yang tersadai sejak sekian lama.

"DBKL meneruskan lagi tindakan ke atas kenderaan tersadai ini bagi memastikan Bandaraya Kuala Lumpur sentiasa kemas dan bebas daripada halangan.

"Hari ini (semalam), sejumlah sembilan kenderan tersadai sudah diangkut dan ditunda ke depoh simpanan Taman Connaught, Cheras," katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, dua lori kecil dan sebuah kereta Proton Saga diangkut di Pusat Bandar Utara.

Katanya, selain itu empat van yang tersadai masing-masing di Taman Sri Murni, Selayang, di Jalan Imbi dan di Desa Tasek, Cheras turut ditunda ke depoh.

"DBKL juga melakukan tindakan sama ke atas sebuah kereta BMW di Taman Desa Bakti, Selayang serta sebuah Proton Wira di Setapak," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kenderaan tersadai atau buruk boleh menyalurkan aduan ke Pejabat Cawangan DBKL berhampiran atau Pusat Panggilan Setempat DBKL di talian 1-800-88-3255.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 3:54 PM