AMIRUDIN SHARI
AMIRUDIN SHARI
Norzamira Che Noh


MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan mendapatkan penjelasan daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengenai kenaikan harga sewa tapak Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya.

Amirudin berkata, beliau mahu mengetahui kenapa keputusan (kenaikan harga sewa tapak) itu dibuat dan bagaimana ia dilakukan.

"Saya sedang menghubungi pihak MBPJ mengenai perkara ini untuk melihat kenapa keputusan ini diambil dan bagaimana ia dilakukan.

"Jika ada kewajaran untuk menilai semula keputusan itu, saya akan minta mereka berbuat demikian," katanya selepas hadir menyampaikan sumbangan kepada penduduk di Taman Langat Murni, Bukit Canggang, Kuala Langat, hari ini.

Terdahulu, Amirudin menyerahkan sumbangan makanan asas kepada penduduk yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan Secara Pentadbiran (SEMCO) di daerah itu sejak 2 Jun lalu.

Semalam peniaga Pasar Besar Jalan Othman terkejut apabila kadar sewa tapak niaga di situ akan dinaikkan hampir 300 peratus.

Difahamkan jika ia dilaksanakan, peniaga pasar terbabit berdepan kenaikan sewa daripada RM140 sebulan kepada RM400 sebulan.

Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar berkenaan, Anuar Abdullah berkata, berdasarkan notis pemberitahuan mengenai perkara itu, kenaikan bayaran itu akan bermula hujung bulan ini.

"Kita mendapat makluman mengenai perkara itu menerusi notis dikeluarkan MBPJ baru-baru ini.

"Notis itu dibuat tanpa ada sebarang perbincangan dengan pihak persatuan peniaga terlebih dahulu," katanya dalam sidang media khas, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 5:36 PM