Mohamed Farid Noh


POLIS berjaya menumpaskan sindiket curi aksesori kereta mewah yang memecah masuk dan memotong aksesori berkenaan daripada kenderaan yang disimpan di bengkel sekitar daerah Iskandar Puteri dengan penahanan empat suspek utamanya, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, empat suspek berkenaan ditahan hasil tiga serbuan dilakukan di kawasan Majidee dan Kempas kira-kira jam 6.30 petang.

Katanya, seorang lagi suspek sedang dikesan polis dan hasil soal siasat ke atas seorang suspek yang ditahan mendedahkan di mana aksesori dicuri itu dijual.

Beliau berkata, kegiatan sindiket berkenaan terbongkar apabila pengusaha sebuah bengkel di Taman Mutiara Rini membuat laporan kehilangan komponen kereta sebuah BMW bernilai RM2,500 yang didapati dipotong dari kenderaan milik pelanggan mereka, bulan lalu.

"Sindiket curi aksesori kereta mewah ini aktif sejak tiga bulan lalu dengan modus operandi mereka memecah masuk bengkel yang menyimpan kenderaan mewah di sekitar daerah ini pada waktu awal pagi.

"Ahli sindiket turut membawa peralatan khas iaitu tong gas berketahanan tinggi bersaiz 1.5 meter, tong gas biasa selain peralatan memotong yang disimpan dalam kereta bagi memudahkan mereka memotong aksesori kenderaan mewah.

"Sindiket ini kemudian akan menjual kembali aksesori mewah yang dicuri dan dipotong itu kepada pengusaha kedai potong dan barang besi lusuh.

"Kita berjaya menahan seorang wanita berusia 57 tahun yang juga pengusaha kedai potong dan barang lusuh yang bersubahat membeli barangan curi itu, Khamis lalu, bagi siasatan lanjut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, hari ini.

DZULKHAIRI Mukhtar (tengah) bersama barang kes atas kejayaan menumpaskan sindiket mencuri aksesori kereta mewah. FOTO AZREN JAMALUDIN
DZULKHAIRI Mukhtar (tengah) bersama barang kes atas kejayaan menumpaskan sindiket mencuri aksesori kereta mewah. FOTO AZREN JAMALUDIN

Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata, polis turut merampas sebuah Proton Iswara dan Proton Wira dengan nombor pendaftaran palsu yang digunakan empat suspek berkenaan bagi membawa peralatan memotong sebelum melarikan barangan dicuri.

"Kita juga merampas satu unit kompenen 'catylic converter' kereta BMW bernilai RM2,500, seunit 'muffler' ekzos Mazda 6, Hyundai dan Kia selain pelbagai barangan untuk memotong aksesori kenderaan mewah selain dua telefon bimbit," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek didapati positif dadah dan mempunyai pelbagai rekod jenayah dengan seorang daripadanya berada dalam senarai paling dikehendaki kerana kesalahan dadah.

"Kesemua empat suspek termasuk seorang mekanik yang berusia antara 26 sehingga 43 tahun itu bersama pengusaha wanita berkenaan kini ditahan reman sejak Ahad lalu sehingga hari ini (semalam) bagi membantu siasatan lanjut.

"Mereka disiasat mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 4:59 PM