M SARAVANAN (dua kanan) menyampaikan faedah dari PERKESO kepada balu Allahyarham Tengku Endut, Salwana Ibrahim. FOTO Mahzir Mat Isa
M SARAVANAN (dua kanan) menyampaikan faedah dari PERKESO kepada balu Allahyarham Tengku Endut, Salwana Ibrahim. FOTO Mahzir Mat Isa
Ruwaida Md Zain

PROGRAM Insentif Pengambilan Pekerja, Penjana Kerjaya di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) menerima pendaftaran sebanyak 52 majikan sejak dibuka secara rasmi, semalam.

Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, program di bawah kendalian agensi itu membuka sebanyak 417 peluang pekerjaan.

"Ini satu permulaan sangat baik pada hari pertama bagi pasaran pekerjaan dan berharap lebih ramai majikan tampil mendaftar di penjanakerjaya.perkeso.gov.my.

"Sehingga semalam, PERKESO juga menerima 1,288 panggilan daripada majikan dan pekerja bertanyakan mengenai inisiatif yang disediakan oleh kerajaan di bawah PENJANA," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas penyampaian faedah Skim Keilatan PERKESO kepada waris pesakit Covid-19 yang meninggal dunia di Doha, Qatar di Sungai Buloh, hari ini.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Mohammed Azman berkata, dengan adanya pendaftaran majikan dan tawaran kerja ini, lebih ramai akan diambil bekerja dan layak menerima salah satu insentif yang ditawarkan iaitu insentif pengambilan pekerja.

"Program ini sangat penting dalam pasca Covid-19 dan PERKESO akan terus memantau majikan sekali gus membantu mereka yang hilang pekerjaan akibat wabak itu atau graduan yang baru tamat pengajian.

"PERKESO mempunyai seramai 256 kaunselor pekerjaan di seluruh negara dan kita akan membantu semua individu yang mencari pekerjaan sama ada mereka itu pencarum atau tidak," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga akan faedah mobiliti secara 'one-off' kepada pekerja yang perlu bergerak ke tempat lain bagi tujuan memulakan pekerjaan.

"Jika mereka perlu bergerak dari satu tempat ke satu tempat, seperti Sabah/Sarawak ke Semenanjung untuk bekerja, kita akan disediakan satu faedah yang dipanggil 'mobilisation benefits'," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 3:07 PM